Berita UtamaKolumnisMuhammad Luttfi Abd KhalidUtama

Tahun 2020 tiada istimewa dalam landskap politik

Parti Melayu berkelahi, kaum lain kukuhkan kedudukan politik

SEBELUM wujudnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) hanya terdapat UMNO dan PAS sahaja yang mendakwa sebagai parti-parti politik, yang mewakili kepentingan-kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam.

Justeru itu, apa sahaja kerosakan, pembaziran, kemusnahan, salahurus, salahtadbir, gejala rasuah, ketamakan kuasa, pengkhianatan, ketaksuban, kleptokrasi, kronisme dan seumpamanya, semuanya berlaku di dalam radar besar yang membabitkan parti-parti politik di atas, sama ada secara bersama atau berasingan.

UMNO adalah pemegang saham terbesar dan utama dalam Barisan Nasional (BN) – yang turut dianggotai oleh parti-parti bukan-Melayu terbesar lain seperti MCA, MIC dan Gerakan, manakala PAS beroperasi di luar kerajaan (dan ada kalanya sebagai kerajaan negeri) sebagai pembangkang, selain dari DAP untuk waktu yang agak lama.

Sesiapa yang menjadi pemimpin, Murshid Am atau Presiden sepanjang sejarah wujudnya UMNO dan PAS, adalah bertanggungjawab terhadap pendirian parti, tingkahlaku para pemimpin dan dasar-dasar yang dirumuskan atau diterimapakai oleh parti masing-masing.

Dasar-dasar parti UMNO terlalu banyak tetapi, yang paling ketara ialah ketundukan kepada kehendak-kehendak dan tekanan rakan-rakan komponen BN khususnya MCA.

Manakala PAS pula terpalit dengan dua dosa politik yang sukar dilupakan oleh umat Islam – pertama membuka pintu keahlian kepada Syi’ah, dan kedua – menjalinkan kerjasama politik dengan DAP.

Sesiapapun yang memimpin kedua-dua pari itu tidak dapat mengelak atau memberi alasan kenapa mereka telah melakukan tindakan-tindakan berkenaan.

Semua dosa politik yang dilakukan oleh UMNO dan PAS telah membawa malapetaka besar kepada bangsa Melayu dan umat Islam.

Satu ciri kebersamaan yang pernah dikongsi oleh kedua-dua parti politik Melayu dan Islam ini ialah terlalu mengambil hati parti-parti politik bukan-Melayu dan bukan-Islam.

Sedangkan semua orang tahu bahawa DAP, MCA dan Gerakan adalah parti-parti rasis dan cauvinis yang tidak pernah merasa kerdil atau apologetik dengan rasisme dan cauvinisme mereka, di hadapan parti-parti UMNO dan PAS mahupun di depan khalayak ramai.

Perbezaan-perbezaan di kalangan ketiga-tiga parti rasis cauvinis ini adalah terlalu remeh dan bersifat teknikal apabila dinisbahkan kepada lebih banyak persamaan yang mencirikan ketiga-tiganya.

Di sudut yang lain, slogan-slogan yang dilaungkan oleh UMNO dan PAS hanya bersifat retorik dan halwa telinga sahaja.

Keprihatinan dan sikap mengambil berat para pemimpin kedua-dua parti itu terhadap rakyat dan para pengundi lebih ketara menjelang sesuatu pilihanraya sahaja.

Acapkali, maslahat umat dan bangsa telah dikorbankan begitu sahaja tanpa rasa sedih, kesal atau bersalah.

Acapkali juga, kepentingan-kepentingan umat dan bangsa akan dikhianati oleh mereka yang begitu beriya-iya menagih simpati dan mandat supaya dilantik sebagai ahli-ahli Parlimen atau wakil-wakil rakyat.

Maka, apakah menghairankan lagi sekiranya pihak lain (contoh bangsa Cina) berjaya meratah dan mengaut sebesar-besar kepentingan serta mengeksploitasi setiap peluang dan kesempatan di tengah-tengah kemabukan dan kerakusan para pemimpin Melayu Islam terhadap kuasa dan kedudukan?

Setelah ditumbangkan dalam PRU14, baru UMNO ingin berubah, kembali bertaubat, sedar dan insaf?

Siapakah yang dengan senang hati menghadiahkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada parti Gerakan satu masa dahulu kalau bukan UMNO?

Setelah jawatankuasa kepimpinan parti dirasuki dan dikuasai oleh tokoh-tokoh parasit, baru PAS ingin membersihkan saf dari Syiah dan puak-puak liberal?

Setelah DAP mula memposisikan diri di puncak-puncak kuasa kerajaan PH, baru UMNO dan PAS teringat akan anjuran supaya kembali bersatu hati, berukhuwwah dan menjulang panji-panji kesatuan dan kedaulatan ummah?

Selama puluhan tahun, apakah yang telah dilakukan oleh UMNO dan PAS kecuali bergaduh dan berbalah sesama mereka?

Di saat anda berdua saling berkelahi dan menghunuskan senjata ke arah satu sama lain, parti-parti bukan-Melayu/bukan-Islam dan bangsa-bangsa lain yang berkepentingan sedang bertemasya ria mengambil setiap ruang, peluang dan kesempatan, memasang strategi dan membuat perancangan jangkamasa panjang untuk mengukuhkan kedudukan dan memastikan survival masing-masing.

Tidak usahlah berlakon atau berdrama di hadapan bangsa melayu dan umat Islam hari ini.

Prestasi anda berdua sangat mengecewakan dan tidak layak mendabik dada mewakili umat dan bangsa!

Kepada PKR, PAN dan Bersatu, janganlah anda semua tersenyum puas dan terasa diri sebagai penyelamat keadaan. Anda semua juga turut bersubahat dan merupakan sebahagian daripada masalah yang sama!

Prestasi anda semua juga bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Malahan, dominasi dan hegemoni parti-parti politik yang mewakili kepentingan bangsa Cina semakin diperkukuhkan sejak anda semua mengambilalih kepimpinan negara.

Dalam analisa terakhir, umat dan bangsa tidak boleh mengharapkan kepada parti-parti politik semata-mata untuk penyelesaian jangkamasa panjang dan berkesan.

Umat dan bangsa perlu melakar dan mencorakkan sendiri masa hadapan mereka.

Apabila agenda umat dan bangsa telah ditetapkan, strategi untuk mencapainya dirumuskan dan pelan tindakan telah siap disusun atur, barulah boleh dijemput parti-parti politik untuk memberi pandangan mereka. Mereka tidak boleh diberi peranan utama.

Umat dan bangsa sendiri yang akan menentukan peranan parti-parti politik!

Mohd Lutfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close