AgamaBerita UtamaUtama

9 langkah ke arah insan berbeza pada 2020

Insan berjiwa besar susun semula langkah jadi lebih cemerlang

KITA kini melangkah ke dekad baru. Insan berjiwa besar tentunya sedang menyusun semula langkah bagaimana menjadi lebih cemerlang dan berjaya berbanding tahun-tahun lalu. Sejujurnya, rahsia kejayaan ini sebenarnya mudah. Semuanya berkait dengan perlaksanaan atas idea yang kita memang telah sedia tahu.

Justeru 2020 ini harus kita jadikan sebagai tahun kita mengambil tindakan atas apa yang kita sedia tahu dan kemampuan untuk menolak tepi gangguan-gangguan kecil yang menyekat kita maju. Secara purata, orang biasa-biasa menghabiskan dua hingga tiga jam sehari dengan internet, menonton televisyen, melihat Youtube dan lain-lain sedangkan kita harus fokus kepada perkara yang betul-betul membina impak dalam kehidupan ini, dunia dan akhirat.

“Victims are interested in entertainment. Leaders are interested in education”

Beberapa cadangan untuk 2020, Insya-Allah dengan melaksanakan ini, kita akan menjadi insan berbeza.

1. Lakukan dulu perkara paling ditakuti – Run towards your fear

– Hakikatnya, bila kita berasa berat terhadap sesuatu, itulah perkara yang kita kena terjah dulu. Apa yang kita takuti, itulah yang memegang kita dari meluncur ke depan. Apabila kita melaksanakannya, kita mendapat semula ‘kuasa’ yang kita beri, lantas kita mengembangkan lagi kemampuan diri kita.

– Contohnya, kita takut untuk berceramah umum, melakukan perbincangan kritikal dengan pasangan atau bos, memberikan maaf kepada seseorang, maka itulah sepatutnya kita perlu segera lakukan tanpa bertangguh lagi.

2. Sedia untuk berubah

– Hanya ada dua pilihan, sama ada mengubah cara kerja yang kita buat selama ini atau jika tidak, kita akan kekal ditakuk lama.

– Sama ada kita mahu mengubah cara fikir tahun-tahun sebelum ini, atau biarkan orang lain menentukan cara hidup kita dan menyusun hidup kita

– Kebanyakan kita selesa hidup di zon selesa, padahal kekal berada di zon selesa adalah tempat paling tidak selamat kerana dunia berubah dengan begitu pantas.

– Apabila kita keluar dari zon selesa, ini bermakna kita akan meneroka ruang baru yang mungkin tidak pernah kita hadapi. Ini akan mengubah cara kerja, cara fikir, mencabar potensi diri dan akhirnya membina kelakuan baru.

– Berubah amat sukar pada awalnya, paling berserabut di fasa pertengahan dan hanya akan indah bahagia apabila di fasa akhir, saat berjayanya kita mencipta satu rutin baru.

3. Peruntukan 60 minit sehari untuk pembangunan diri

– Pintu ke arah kejayaan sebenarnya bukan dari luar ke dalam tapi hakikatnya dari dalam ke luar

– Kita tidak akan mampu membina satu kehidupan yang lebih berkualiti dan lebih hebat dari apa yang kita sendiri bayangkan. Jadi jangan letakkan limit dalam hidup, bercita-cita besarlah kerana itulah tuntutan Allah kepada muslim agar dia menjadi pemimpin, bukan selesa menjadi pengikut.

– Kuasai rahsia khusyuk dalam solat lima waktu dan jadikan itu saat yang paling membahagiakan untuk memastikan kita sentiasa on-track dengan visi besar

– Gambarkan siapa orang yang kita ingin capai, dan tulis dengan jelas lima perkara yang akan dicapai sebelum kita mati bahawa kita telah melakukan yang terbaik di hadapan Allah serta menyempurnakan kerja bakti untuk umat ini.

– Gariskan lima perkara yang tidak menjadi tahun lepas dan tidak akan kita ulang semula pada 2020.

– Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa kita meletakkan secara sedar minima 60 minit untuk pembangunan diri setiap hari

4. Meletakkan sasaran harian setiap hari

– Kita adalah diri kita bagi setiap perkara kecil yang kita buat setiap hari. Jangan kita bayangkan syarikat atau badan besar seperti Illuminati Antarabangsa dibina dalam tempoh singkat.

– Justeru tulis dan laksanakan lima perkara kecil setiap hari.

– Letakkan apakah lima perkara yang jika kita siapkan hari ini akan menjadikan hari ini hari paling berharga. Ia mungkin berjogging, memperbaiki hubungan dengan rakan atau ahli keluarga, makan bersama sekeluarga, sebelum tidur tulis semula pencapaian harian, atau memulakan bacaan Al-Quran harian secara tetap.

– Jangan kita perkecilkan lima pencapaian sehari, kerana sebulan kita akan capai sehingga 150 perkara dan dalam setahun kita capai lebih 1,700 pencapaian. Bayangkan jika ini dilakukan secara konsisten, tentunya di hujung 2020, kita akan menjadi insan berbeza.

5. Kurangkan teknologi, banyakkan pergaulan dengan alam dan humaniti

– Kita sekarang terkait (hooked) sekali dengan gajet sehingga tidak lagi menyapa teman di lif atau berkenalan dengan teman baru dalam perjalanan ke pejabat. Kurang sekali kita mengucapkan “terima kasih” dan meminta bantuan dengan kata-kata penuh keikhlasan.

– Kita kurang mendengar terhadap keluhan pasangan dan anak-anak, serta anak buah juga anak murid.

– Menakutkan apabila kita menjadi sibuk mengejar impian yang kita gambarkan sebagai kejayaan, akhirnya apa bila tiba, baru kita sedar bahawa kita sebenarnya sendirian.

6. Cergas dan aktif – Be super fit

– Orang berkata, Health is wealth, wealth is health

– Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan riadah harian yang sepatutnya bukan hanya sebagai rutin tetapi memberikan kesan jangka panjang kepada kesihatan dan kelangsungan hidup (longevity).

– Kita ingin agar terus memberikan sumbangan sekalipun usia menjangkau 90-an. Dalam hal ini, semangat dan cara pemakanan Tun M boleh kita contohi

– Jika kita merasakan segala kos berkaitan riadah dan diet itu mahal, ketahuilah bahawa kos untuk perubatan apabila kita sakit jauh lebih mahal.

7. Berada di sekeliling kawan yang betul

– Kita harus memiliki dan berkawan dengan mereka yang boleh menginspirasikan diri dan menolak kita ke atas.

– Kita tolak kawan-kawan yang menarik kita ke bawah dan mengunapakai energi kita ke arah yang berlainan dengan cita-cita besar kita.

– Hakikatnya, kita akan mencapai cara fikir, energi dan kejelasan hidup yang sama dengan 10 orang terdekat yang kita sering bersama. Jadi, pilih dengan siapa kita berkawan.

8. Jangan lagi memberi alasan

– Orang yang lemah akan sentiasa beralasan, manakala orang yang berjaya akan usaha mencari solusi.

– Semakin banyak alasan yang diberi, semakin kuat keyakinan bahawa itulah diri kita.

– Cukuplah kita bertangguh untuk melaksanakan sesuatu yang penting untuk diri dan umat

9. Cari Qudwah untuk dicontohi dan ikuti mereka

– Hakikatnya, tiada siapa boleh berubah seorang diri malah dia memerlukan mentor dan coach untuk membantunya berubah.

– Carilah Qudwah itu dan rendahkan hati untuk dibimbing dan diajar oleh mereka.

– Sebenarnya dalam segenap aspek umat Islam telah memiliki qudwah dan suri teladan yang cukup jelas dari Nabi. Bagindalah sebaik-baik contoh dan sebaik teladan dalam pembangunan diri, ketaatan beribadah, kecintaan kepada Allah dan perjuangan suci, memilih sahabat, mengenali musuh dan lain-lain.

Inilah sedikit konsep yang mana kebanyakan masih dalam keadaan ‘work in progress’ dalam perlaksanaannya, namun itu tidak menunggu hingga diri ini sempurna, sebelum semua ini kita kongsikan.

Moga 2020 menjadi tahun yang terbaik buat diri dan umat!

 Ahli Jawatankuasa Pusat Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Omar Kassim

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close