Dunia

Sengaja biar orang kelaparan ‘senjata’ Israel bunuh rakyat Palestin

Satu perempat penduduk kebuluran, selebihnya kurang zat makanan

GENEVA, 26 Rejab 1445H, Rabu – Bukan sekadar melancarkan serangan bom dan artileri, rejim Israel turut menggunakan kelaparan sebagai ‘senjata’ dalam menyasarkan serangannya ke atas orang awam di Semenanjung Gaza.

Pelapor Khas PBB mengenai hak makanan, Michael Fakhri berkata, tindakan Israel menyekat bantuan bekalan makanan dan air memasuki Gaza telah membawa kepada isu kebuluran di wilayah itu.

“Israel jelas dan sistematik menghalang akses kepada makanan untuk semua orang awam di Gaza.

“Pasukan kemanusiaan PBB melaporkan bahawa mustahil untuk bantuan makanan dan air boleh sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza ekoran sekarang pasukan rejim,” katanya.

Data terkini PBB menunjukkan bahawa kira-kira satu perempat daripada penduduk Gaza mengalami kelaparan, manakala selebihnya kekurangan zat makanan.

Fakhri berkata, setakat ini tiada zon konflik lain yang berdepan kesukaran kepada akses air bersih dan makanan.

“Israel memusnahkan sistem makanan Gaza dan menggunakan makanan sebagai senjata terhadap rakyat Palestin.

“Kita tahu 2.2 juta orang di Gaza kelaparan. Kami tidak pernah melihat begitu ramai orang yang benar-benar kekurangan makanan sebelum ini,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh empat bulan perang, serangan Israel sengaja menyasarkan infrastruktur awam, hospital dan kedai roti.

Fakhri menegaskan bahawa sekatan Israel terhadap akses penduduk Gaza kepada makanan adalah jenayah perang.

“Israel telah menjadikan Gaza tidak boleh didiami. Ini jelas jenayah perang kerana serangan sewenang-wenangnya dan tidak seimbang terhadap sasaran awam sedang berlaku,” katanya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button