Berita UtamaUtama

Tulisan Jawi: Guan Eng perlekeh kurikulum, kemampuan murid

Jika tulus bela Jawi, guna pengaruh minta Dong Zong batal himpunan

BANGI, 19 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Kenyataan Lim Guan Eng bahawa pengajaran tulisan Jawi di sekolah sekadar pengenalan terhadap suatu sistem bahasa, seolah-olah memperlekeh keupayaan kurikulum serta kemampuan guru dan murid.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, silibus tulisan Jawi yang dimuatkan sebanyak tiga muka surat itu adalah penting bagi memperkenalkan nilai-nilai bahasa Melayu dan identiti negara kepada anak watan daripada pelbagai kaum.

“…supaya dapat membentuk dan memelihara perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Daripada tiga muka surat tersebut, hanya 14 huruf daripada 37 huruf sahaja yang diperkenalkan, dengan diulang-ulang penggunaannya sehingga lapan kali menerusi tujuh perkataan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung parti rasis dan cauvinis itu berkata, pengajaran tulisan Jawi sepanjang tiga halaman di sekolah cuma pengenalan terhadap suatu sistem bahasa.

“Sekiranya kita dapat mempelajari Jawi hanya dengan tiga muka surat, maka kita adalah genius. Pelajaran ini tidak wajib dan akan diputuskan oleh ibu bapa.

“Jika ibu bapa tidak mahu, okay, kami tidak akan memperkenalkannya,” katanya sambil membuat persamaan tulisan jawi dengan tulisan purba Cina iaitu Jiaguwen.

“Boleh kamu kuasai tulisan purba Cina (Jiaguwen) hanya dengan tiga muka surat? Mustahil. Menggunakan logik yang sama, kamu tidak boleh menguasai tulisan Jawi dengan tiga halaman,” katanya.

Menempelak perkara itu, Dr Khairuddin berkata, murid-murid akan mudah untuk memahami dan menghayati objektif pengajaran tulisan Jawi melalui pengajaran dan pemudahcaraan yang berkesan oleh guru.

Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan tulisan Cina, yang mempunyai jumlah sehingga ribuan huruf dan murid perlu mengetahui sekurang-kurangnya 500 huruf untuk membaca bahan bacaan umum.

Katanya, murid-murid juga perlu mengenali sehingga 3,386 huruf untuk membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa Mandarin.

“Malah, murid-murid juga perlu menguasai beberapa nada bagi membezakan makna bagi setiap perkataan. Justeru, memanglah ia memerlukan kurikulum yang lengkap dan tempoh masa yang panjang untuk menguasainya.

“Sekiranya Guan Eng tulus mahu membela tulisan jawi, sepatutnya beliau menggunakan kedudukan dan pengaruh beliau untuk memastikan Dong Jiao Zong membatalkan perhimpunan bertujuan membantah tulisan jawi yang dijadualkan pada 28 Disember nanti,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close