Berita UtamaDuniaUtama

Rakyat Lubnan bantah Saad Hariri disenarai calon PM

Mereka mahu 'pakar' baru urus krisis ekonomi negara yang teruk

BEIRUT, 19 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Ribuan rakyat Lubnan membanjiri jalan raya semalam bagi memprotes penamaan calon, Saad Hariri sebagai Perdana Menteri.

Dalam protes hari kedua itu, penunjuk perasaan melaungkan bantahan terhadap tindakan keras pasukan keselamatan dan mengatakan mereka tidak akan menerima Hariri sebagai perdana menteri, selain menuntut ketua kerajaan tidak bersekutu dengan pihak yang ada.

Orang ramai menaikkan bendera Lubnan, berkata: “Kami tidak akan pergi, Kami tidak akan pergi. Tahanlah semua penunjuk perasaan!” selain menaikkan poster yang menegaskan mereka tidak beranjak walaupun diserang dengan gas pemedih mata.

“Kami sudah menangis,” kata salah seorang penunjuk perasaan merujuk kepada krisis ekonomi yang berlaku di Lubnan.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah dan menahan beberapa penunjuk perasaan – termasuk wanita dan kanak-kanak – bagi menyuraikan perhimpunan di luar Parlimen di ibu kota itu.

Peristiwa itu adalah salah satu tindakan keras terhadap penunjuk perasaan sejak demonstrasi antikerajaan di seluruh negara bermula dua bulan lalu, yang menyebabkan peletakan jawatan Saad Hariri pada 29 Oktober.

Peletakan jawatan Saad disiarkan secara langsung di televisyen dan disambut gembira kumpulan penunjuk perasaan yang masih tidak menghentikan gerakan mereka.

Penunjuk perasaan menginginkan seorang pakar baru bebas untuk dilantik menguruskan negara yang mengalami krisis ekonomi – mereka menyalahkan dasar yang diterima pakai oleh elit pemerintah negara yang telah menimbulkan kegawatan ekonomi kepada penduduk Lubnan.

Selain itu, penunjuk perasaan juga menuntut supaya pemilihan awal diadakan berdasarkan undang-undang pilihan raya yang baru dan tidak berpengaruh. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close