Berita Utama

KKM perluas sistem janji temu di MySejahtera elak sesak

Pelanggan boleh rancang lawatan ke fasiliti kesihatan ikut sesuai masa

BANGI, 4 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan primer ekoran mengambil kira masa menunggu yang lama.

Beliau berkata, antara perkhidmatan yang dimasukkan dalam sistem janji temu iatu adalah rawatan pesakit luar, inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan atau pra-pengajian dan saringan pra-perkahwinan.

Ini turut meliputi khidmat berhenti merokok (KBM), perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur seperti rawatan luka serta penukaran tiub.

“Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

“Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaliha berkata, antara kelebihan sistem janji temu atas talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan, katanya.

“Sistem ini juga mempunyai fungsi Automated Reminder supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah.

“Untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula hari ini.

“Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan yang disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program-program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat yang lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button