Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahIstimewaKolumnisPendapatUtama

Muslihat ultra kiasu di sebalik pilihan raya PBT

Lambakan kelab malam, pusat judi, arak, dan yang melalaikan

KERAJAAN jangan sama sekali tunduk desakan ultra kiasu untuk mengadakan pilihan raya PBT. Kawasan bandar akan terus membangun tidak kira sama ada ada pilihan raya PBT atau tidak. Ultra kiasu terus untung, yang rugi adalah Melayu Islam. Kawasan luar bandar masih sama.

Dalam konvensyen parti ultra kiasu bahagian Wilayah Persekutuan minggu lalu, sekali lagi mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pilihan raya Kerajaan Tempatan. Contoh, PBT adalah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Ipoh, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis-Majlis Perbandaran, Majlis-Majlis Daerah dan sebagainya.

Semua sedia maklum bahawa kawasan bandar dihuni oleh majoriti ultra kiasu. Jika pilihan raya PBT diadakan, boleh dikatakan semua bandar akan disapu bersih oleh ultra kiasu, bermula dengan jawatan Datuk Bandar atau Yang DiPertua, Timbalan, Setiausaha sehingga kepada ahli majlis yang lain. Kecuali satu dua bandar yang majoriti Melayu.

Belum pun pilihan raya PBT diadakan, cuba pergi buat siasatan dan tinjau siapakah ahli majlis setiap PBT hari ini. Jika dahulu, hanya ada dua tiga orang sahaja ultra kiasu. Kini, lebih separuh daripada ahli majlis PBT adalah ultra kiasu. Merekalah yang akan membuat keputusan.

Bayangkan selepas pilihan raya PBT berlangsung, sudah tentu cengkaman ultra kiasu akan menjadi bertambah hebat. Jika perkara ini dibiarkan berlaku, semakin hilang dan pupuslah identiti negara ini. Ultra kiasu mahu negara ini menjadi lebih Barat daripada Barat.

Program atau aktiviti yang melalaikan, yang akan mencairkan dan merosakkan umat Islam, akan diperbanyakkan. Ultra kiasu memasang strategi, jika Melayu semakin dicairkan daripada agama, maka tercabutlah sensitiviti agama mereka. Apabila sensitiviti agama tercabut, maka pengaruh ultra kiasu akan semakin mencengkam.

Teori mudah, semakin orang Melayu jauh daripada agama, maka sokongan akan berpindah kepada ultra kiasu.

Perlu diingatkan, pilihan raya PBT pernah diadakan bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum tahun1964. Jawatan penting seperti Datuk Bandar, Yang diPertua Majlis dan ahli majlis berkuasa terhadap cukai, cukai pintu dan menggubal undang-undang kecil akan dipertandingkan.

Apabila memenangi pilihan raya PBT, ahli majlis ini yang akan bertindak sebagai penasihat dan penggubal undang-undang kecil di PBT ini.

Sistem PBT tidak banyak bezanya dengan apa yang diamalkan di Britain. Cuma, selepas merdeka pada 31 Ogos 1957, sistem ini diubah suai mengikut acuan tempatan. Mereka yang menganggotai PBT tidak dipilih tetapi dilantik.

Sistem yang telah berjalan sekian lama amat tidak disukai ultra kiasu. Ultra kiasu terus bersuara tanpa jemu adalah sistem pilihan raya PBT diadakan. Ultra kiasu mahu menguasai bandar sepenuhnya.

Apa yang ultra kiasu mahukan adalah, pertama, setiap PBT hendaklah mengadakan pilihan raya tempatan. Kedua, pilihan raya PBT mesti diadakan setiap 3 tahun sekali. Pilihan raya PBT akan dipantau atau dikendali SPR. Ketiga, pilihan raya PBT berasaskan kepada undian majoriti mudah mengikut kawasan zon. Keempat, parti-parti politik dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya PBT.

Persoalannya, perlukah desakan ultra kiasu untuk mengadakan pilihan raya PBT ini dipenuhi? Jawapannya semestinya tidak buat masa ini. Sistem yang berjalan pada hari ini masih lagi baik dan terkawal. Walaupun saya tidak nafikan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.

Bayangkan jika ultra kiasu yang menggantikan penjawat awam ini. Saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi kepada bandar raya yang sudah pun membangun. Lambakan kelab malam, pusat judi, pusat arak, pusat maksiat dan lain-lain pusat melalaikan. Bandar-bandar akan semakin menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Sudah tentu nama-nama bangunan dan taman-taman yang pelik-pelik akan bercambah. Jati diri makin terhakis. Dahulu, dalam manifesto PRU14, mereka kata, tidak mahu campur tangan dalam pentadbiran awam. Mereka tidak mahu ganggu kakitangan pentadbiran awam.

Cakap tak serupa bikin, buktinya, hari ini, mereka bukan sahaja mencampuri pentadbiran awam. Ramai ahli politik ultra dilantik masuk dalam pentadbiran awam sehingga menimbulkan keresahan penjawat awam. Ultra kiasu mahu mengaturkan bandar raya ini.

Perlu dingatkan, bahawa bandar raya dan bandar bukan milik penduduk yang tinggal di bandar sahaja, tetapi ia milik semua, termasuk mereka yang berada di luar dan masuk ke bandar, iaitu mereka yang berada di luar bandar, bekerja di bandar.

Dalam kata lain, dalam bandar ada ‘penghuni siang’ dan ada ‘penghuni malam’. Penghuni siang merujuk kepada mereka yang datang ke bandar setiap hari untuk bekerja.

Jumlah mereka ini ramai, hampir tiga kali ganda daripada penduduk yang benar-benar menetap di bandar atau ‘penghuni malam’.

Penduduk yang benar-benar menetap di bandar, atau ‘penghuni malam’ perlu sedar bahawa bandar atau bandaraya bukan milik mereka sahaja, milik semua. Justeru, mereka tidak ada hak eksklusif untuk menentukan siapakah yang layak menguruskan bandar? Termasuk ultra kiasu yang merasakan mereka ramai. Justeru, ultra kiasu tidak ada hak untuk menentukan hala tuju bandar atau bandar raya ini.

Benar, ultra kiasu adalah penduduk majoriti bandar. Sebab itu, mereka menang dalam setiap pertandingan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kawasan bandar. Kemenangan yang sama akan diraihkan jika pilihan raya PBT diadakan.

Justeru, sebelum keputusan pilihan raya PBT dibuat, kajian hendaklah dilakukan secara mendalam, termasuk sejarah dan latar belakang sesebuah bandar raya.

Misalnya, sejarah bandar raya Kuala Lumpur. Siapakah pengasasnya? Ultra kiasu akan kata Yap Ah Loy. Benarkah?

Bukti-bukti menunjukkan bukan Yap Ah Loy tetapi Sutan Puasa dan Raja Abdullah.

Sutan Puasa, seorang saudagar Mandailing, merupakan individu yang sangat berpengaruh ketika itu. Begitu juga dengan nama Raja Abdullah seperti yang selalu disebut oleh mendiang sejarahwan negara, Khoo Kay Kim.

Penemuan ini bercanggah dengan sejarah Malaysia menyebut Kapitan Cina yang ketiga Yap Ah Loy adalah pengasas Kuala Lumpur (Abdul Razzaq Lubis 2018).

Sebab itu agaknya, pada tahun-tahun 1980-an melewati bandaraya Kuala Lumpur, terpampang semua nama jalan dalam tulisan jawi bahagian paling atas. Selepas itu satu demi satu tercabut sehingga hilang sepenuhnya. Apabila hilang jawi, ingatkan hanya kekal rumi, kerana itulah alternatif yang ada.

Sebaliknya, kita dikejutkan dengan banyak nama jalan pelik yang tidak menjunjung jati diri negara seperti yang berlaku di Shah Alam dan di Kajang. Nama-nama jalan terpampang dalam bahasa Cina di bahagian paling atas. Salah siapa?

Sudah tentu yang paling berdosa adalah PBT, kerana kamu yang meluluskan semua nama dan papan tanda ini. Ke mana mata kamu ketika melalui kawasan ini. Takkan buta, tidak nama nama sebesar itu?

Kadang-kadang terfikir juga, kenapa perkara ini boleh berlaku? Apa PBT buat selama ini dalam membangunkan bandar? Kenapa bandar tidak mempunyai jati diri?

Oh, baru saya sedar penjawat awam yang dilantik menerajui PBT tidak lagi amanah dengan tugasnya, mati jati diri, disogok dengan rasuah sehingga merosakkan bandar, dan macam-macam kerosakan berlaku angkara sogokan wang. PBT inilah yang menjadi perosak kepada hilangnya jati diri dan identiti negara ini.

Justeru, saya mohon kepada semua penjawat awam PBT, sebelum pilihan raya PBT menjadi realiti disebabkan kelemahan kamu, eloklah bermula sekarang, kamu tunjukkan bahawa kamu boleh melakukan yang terbaik seperti bandar raya dunia yang lain. Bangunlah bandar raya dengan penuh jati diri dan identiti.

Pada masa sama, jika desakan pilihan raya PBT oleh ultra kiasu tidak dapat dibendung lagi kerana ketakutan kita, maka kenakanlah syarat-syarat untuk menjadi calon pilihan raya PBT. Antaranya, pertama, mesti fasih bahasa Melayu. Mendapat kredit BM peringkat SPM.

Kedua, calon PBT perlu menduduki ujian sejarah bandar dan perbandaran sesebuah bandar yang dihuninya. Ketiga, membangunkan bandar mesti berpandukan kepada perlembagaan yang berpaksikan kepada agama Islam dan Melayu.

Keempat, jawi dan BM mesti didaulatkan apabila membangunkan bandar. Kelima, pusat-pusat maksiat hendaklah dikawal pertumbuhan, bukan membiak seperti sekarang.

Akhir sekali, kepada Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, bangunkanlah bandar raya ini dengan penuh jati diri dan identiti negara. Jangan biarkan Kuala Lumpur 24 jam, sehingga berleluasa maksiat dan kemungkaran. Pergilah ke mana-mana bandar raya di dunia, terkemuka dunia, bandar raya mereka mati pada waktu malam. Kenapa bandar raya kita perlu hidup pada malam? Akhirnya, yang rosak siapa? Ultra kiasu? Atau anak-anak kita? Sama-sama fikirkan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close