Berita UtamaUtama

Mangsa banjir di Johor 9,151 orang

Amaran cuaca bahaya di Mersing, Kota Tinggi: Met Malaysia

JOHOR BAHARU, 19 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 9,151 orang di sembilan daerah setakat 8 pagi tadi berbanding 9,043 orang pada 9.30 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa adalah daripada 2,475 keluarga yang ditempatkan 93 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 83 PPS malam tadi.

Katanya, di Mersing terdapat 10 PPS, 18 di Kota Tinggi, 28 di Kluang, 23 di Segamat, tiga di Pontian, tiga di Batu Pahat, dua di Kulai, lima di Johor Bahru dan sebuah di Muar.

“Kluang setakat ini mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 2,666 orang daripada 747 keluarga diikuti Kota Tinggi iaitu 2,659 orang daripada 695 keluarga,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca bahaya di daerah Mersing dan Kota Tinggi dan amaran cuaca buruk di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak.

Sementara itu, Jalan Kampung Mawai Lama dan Jalan Dalam dekat Kota Tinggi, ditutup untuk kesemua kenderaan manakala Jalan Telok Arong di Mersing, dibuka satu laluan untuk kenderaan ringan sahaja. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close