Berita UtamaUtama

Jawi: Jangan layan, Dong Zong angkuh makin naik kepala

'Kita nak lihat ahli politik mana sokong pertubuhan rasis bantah Jawi'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Rabiulakhir 1441H, Isnin– Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya mengecam sikap pertubuhan rasis, Dong Zong yang tidak habis-habis menentang sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau berkata, Dong Zong sekali lagi menyerlahkan sifat keangkuhan dan rasis mereka apabila terus membuat kecoh dalam isu pembelajaran tulisan Jawi walaupun isu ini telah reda dan dianggap ‘selesai’ selepas kerajaan bertolak ansur dengan tuntutan mereka sebelum ini.

Bahkan Aminuddin menegaskan, sikap Dong Zong yang mahu menganjurkan sebuah persidangan yang mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan Cina di Malaysia bagi membantah pembelajaran pengenalan tulisan Jawi yang hanya tiga muka surat sahaja, jelas bertentangan dengan semangat perpaduan kaum di negara ini.

“Tulisan Jawi ada di merata tempat di kawasan awam, tidakkah bagus jika kita berikan peluang kepada semua untuk sekurang-kurangnya mengenali? Jangankan isu Jawi sahaja, banyak lagi perkara yang mereka cuba paksakan seperti agenda pengiktirafan UEC,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong dilaporkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Mengecam perkara itu, Aminuddin berkata tindakan sedemikian menghina kerajaan dan orang Melayu kerana telah menuduh tulisan Jawi dengan pelbagai tohmahan dan fitnah termasuk yang berbaur kebencian dan Islamofobia.

Kata beliau, tindakan kumpulan pendesak Cina itu sebenarnya menyuburkan budaya hasut-menghasut dalam kalangan masyarakat Cina supaya membenci adat budaya dan tradisi orang Melayu melalui isu tulisan Jawi.

“Lebih malang lagi ialah tulisan Jawi adalah warisan negara, bukan sekadar budaya dan tradisi Melayu. Justeru, kerajaan tidak perlu melayan dan mesti konsisten menolak segala desakan Dong Zong kerana semakin dilayan, semakin naik kepala. Sejarah telah membuktikannya.

“Masyarakat Cina disaran tidak mengikut cadangan, keputusan dan arahan Dong Zong kerana mereka tidak layak mewakili masyarakat Cina. Kita perlukan pertubuhan yang sederhana dan sentiasa menjunjung keluhuran perlembagaan untuk mewakili masyarakat Cina.

“Jika persidangan ini berjaya dianjurkan, kita tunggu dan lihat, ahli-ahli politik mana yang hadir memberikan sokongan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close