Berita UtamaUtama

Remaja perempuan lemas di Jeti Tebing Tembah

Mangsa dipercayai tergelincir, jatuh di kawasan air dalam

DUNGUN, 18 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Seorang remaja perempuan ditemui lemas selepas bermain air bersama dua orang sepupunya di Jeti Tebing Tembah, Paka di sini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, mangsa, Puteri Anisha Najwa Zamani, 16, yang tinggal di Kuantan dikatakan, bercuti di rumah saudaranya di sebuah kampung berdekatan jeti tersebut.

“Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu mangsa bersama dua orang sepupu dikatakan bermain air di Jeti Tebing Tembah berdekatan kawasan simpanan bot nelayan sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh di kawasan air dalam.

“Mangsa yang dipercayai tidak pandai berenang telah lemas. Mayat mangsa dijumpai pada pukul 5.45 petang oleh bapa saudaranya yang dikenali sebagai Zainuddin, 42, di tempat mangsa dikatakan jatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudiannya, di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di Kampung Pulau Baru, Bukit Berangan, Kuala Nerus, seorang lelaki ditemui maut selepas tertimbus tanah bersama jengkaut ketika menjalankan kerja-kerja melebur bukit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusuf berkata, mayat Muhamad Amiruddin Abdul Ghani, 21, berjaya dibawa keluar pada pukul 6.29 petang oleh pihak bomba dengan bantuan sebuah jengkaut lain yang turut berada dilokasi berkenaan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang dan enam orang anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close