Berita PilihanBerita UtamaUtama

Isu Jawi: Umpama kaduk naik junjung!

Kaum `berkelana' patut malu dengan sikap tidak sedar diri mereka

BANGI, 18 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Keputusan untuk membantah pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular oleh beberapa persatuan pendidikan Cina menjadi manifestasi kepada sikap antinasional golongan berkenaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, golongan berkenaan mendakwa rakyat Malaysia dan negara ini merupakan tanah tumpah darah mereka namun sikap yang dipamerkan seperti orang asing.

Beliau berkata, peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas menunjukkan bahawa tulisan jawi tidak boleh dihalang daripada dipelajari.

“Jadi ada larangan di situ menentang kepentingan negara dan apabila ditentang tindakan itu adalah tindakan antinasional.

“Kepentingan Melayu telah diangkat menjadi simbol dan juga proses sosial budaya kepada identiti nasional, jadi tindakan ini tidak lain tidak bukan bersifat perkauman.

“Simbol Melayu telah dipersetujui dalam kontrak sosial, kita setuju identiti nasional kita adalah simbol Melayu dan proses kebudayaan Melayu. Jadi sekarang ditentang nampak sangat perkauman dan antinasional,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Kelmarin, tular tiga muka surat buku teks pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular.

Tiga halaman berkenaan memperlihatkan tulisan jawi pada jata negara, wang kertas dan setem yang mengandungi tujuh patah perkataan iaitu bersekutu, bertambah, mutu, bank, negara dan Malaysia.

Hari ini, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungan dikenali Dong Jiao Zong didakwa bakal mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini untuk membantah pelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dalam satu kenyataan bersama berkata, persatuan lembaga pengelola peringkat negeri juga diminta bermesyuarat atau bersidang bagi membantah perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Kok Seong mendakwa, sikap yang dipamerkan segelintir pihak yang membantah pembelajaran tulisan jawi boleh diumpamakan seperti kaduk naik junjung.

Katanya, orang Cina sebagai kaum yang `berkelana’ ke Tanah Melayu sepatutnya berasa malu dengan sikap tidak sedar diri mereka.

“Mereka bila dikatakan sebagai pendatang marah, jadi mereka adalah kaum kelana yang datang ke sini dan diterima di sini sebagai rakyat nampak sangat penentangan ini.

“Mereka lupa daratan, mengada-ngada. Ini benda kecil sahaja. Mereka kata dah tinggal di sini 62 tahun tetapi cara pemikiran masih memperlihatkan mereka seperti orang asing yang tidak terikat dengan negara ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close