Berita Utama

Bekalan vaksin COVID-19 masih belum tiba

Perdana Menteri sudah arahkan menteri minta pembekal hantar vaksin segera

TANGKAK, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin berkata, bekalan vaksin COVID-19 yang sudah dibeli dan dibayar kepada pembekal masih belum diterima.

Berikutan itu, beliau sudah mengarahkan Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, supaya meminta pembekal menghantar bekalan vaksin COVID-19 itu secara segera.

“Kerajaan sudah beli dan bayar, namun bekalan vaksin ditempah itu belum sampai, malah seluruh dunia sekarang juga perlukan vaksin.

“Saya sudah arahkan menteri bertanggungjawab meminta pembekal menghantar vaksin dengan segera. 

“Jika pengilang keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini dengan lebih cepat,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau meluahkan kebimbangan itu kerana beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di beberapa lokasi yang sudah dibuka dan diuruskan dengan baik menghadapi masalah bekalan vaksin tidak mencukupi serta perlu ditambah.

“Beberapa PPV juga bersedia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin, namun tidak dapat berbuat demikian kerana jumlah vaksin tidak cukup,” katanya.

Semalam, Khairy berkata, ketidakadilan pengagihan bekalan vaksin COVID-19 menyebabkan negara Asia termasuk Malaysia ketinggalan berbanding negara yang bernaung di bawah Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, negara EU berunding dengan pembekal vaksin COVID-19 bagi membolehkan pembelian secara pukal, manakala kilang vaksin semuanya berada di negara Eropah.

Faktor itu menyebabkan kadar vaksinasi Malaysia bergantung kepada bekalan, di mana semua bekalan terbabit dibolot negara di bawah EU.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button