Berita UtamaUtama

Polis tahan Geng 04

Logo kumpulan boleh gugat keselamatan negara

GEORGE TOWN, 17 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Polis menahan enam lelaki dipercayai ahli sebuah pertubuhan haram dikenali sebagai ‘Geng 04’ bagi membantu siasatan berhubung penularan video satu perarakan pengebumian membabitkan sebuah kenderaan yang menggunakan logo kumpulan itu di Batu Lancang, di sini pada 11 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, enam lelaki berusia antara 21 dan 26 tahun itu ditahan di sekitar kawasan George Town bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga 5 pagi ini susulan satu laporan polis berhubung penularan video berkenaan.

“Video berdurasi 11 saat yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysian Tamilar Kural pada 11 Disember itu menunjukkan, satu perarakan pengebumian disyaki ahli sebuah kumpulan yang tidak berdaftar dengan menggunakan logo ‘04’ yang dipamerkan di hadapan sebuah kenderaan di lorong Batu Lancang, George Town.

“Perarakan itu juga telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana tidak dirancang dengan sempurna serta tidak mendapatkan nasihat dari pihak polis,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang hendak dikebumikan itu adalah seorang lelaki yang meninggal dunia pada 10 Disember lepas akibat kemalangan motosikal dan dipercayai dia juga merupakan ahli Geng 04.

Soffian berkata, penahanan enam lelaki itu berikutan siasatan awal mendapati mereka merancang perarakan pengebumian dengan menggunakan logo kumpulan berkenaan yang mana boleh memecah belahkan keamanan, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya siasatan mendapati empat daripada enam lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, samun, mendatangkan cedera, merusuh dan ada di antara mereka yang pernah ditangkap bagi kes bunuh.

“Enam lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis tidak pernah menghalang sebarang perarakan pengebumian asalkan ia dijalankan tanpa melanggar sebarang peraturan serta tidak menimbulkan keresahan, kacau ganggu awam dan ketenteraman masyarakat umum.

“Masyarakat diminta untuk memohon nasihat dari kami sebelum sebarang perarakan dibuat bagi memastikan tidak berlakunya kesesakan lalu lintas yang akhirnya akan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya yang lain. Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close