Berita UtamaIstimewa

Pertimbang bak kut teh makanan tradisi, King Sing menteri paling gagal

Elok PM tukar menteri sebelum lebih banyak MP Bintulu merapu

BANGI, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Merepek! Cadangan tidak masuk akal Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tsea supaya makanan tradisional kaum Cina, bak kut teh diangkat sebagai makanan kebangsaan mendapat perhatian Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing.

“Mungkin ini bukan kebetulan dan saya percaya dalam politik banyak perkara bodoh bukan berlaku secara tidak sengaja.

“Ianya sama ada dirancang, diumpan atau diambil kesempatan,” kata Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya sambil menyifatkan kegilaan ‘apa’ yang terlintas di minda Menteri Pelancongan negara.

Beliau menegaskan, cadangan menjadikan sup tulang rusuk babi sebagai warisan kebangsaan bukan sekadar ‘tidak kena’ tetapi boleh dilihat sebagai kurang ajar dan tidak sensitif.

“Tindakan menteri mempertimbangkan cadangan ini telah membuktikan beliau ini tidak layak menjadi seorang menteri apatah lagi menerajui kementerian yang sepatutnya menjadi ‘frontliner’ kepada kebudayaan dan imej Malaysia yang sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin bagaimanapun tidak terkejut dengan hasrat Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan itu kerana Tiong kerap kali mengeluarkan kenyataan merepek sepanjang menerajui Motac.

“Ini antara ‘top 4’ kenyataan beliau selaku menteri pelancongan tahun ini setakat yang saya boleh ingat selain kenyataan bak kut teh ini, ‘Jangan takutkan pelancong dari China’ (Januari 2023) dan ‘Wujudkan laluan mudah untuk pelancong dari China (Januari 2023)’.

“Selain itu, ‘Tempelak desakan jual arak secara terbuka sebagai ‘ekstremis’ (Januari 2023) dan mengatakan kewujudan kasino akan mampu memacu ekonomi Sarawak (Mei 2023),” katanya.

Rentetan itu, beliau menegaskan Tiong antara menteri paling gagal selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahkan dari awal pun tidak layak dalam menjawat jawatannya sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan.

Ini kerana langsung tiada satu pun inisiatif dan polisi jelas untuk memperkasakan kebudayaan dan kesenian tempatan yang selama ini telah terpinggir dan semakin terpinggir untuk sektor pelancongan dan identiti negara.

“Elok PMX tukar orang lain sebagai menteri Motac sebelum lebih banyak Tiong King Sing merapu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button