Berita UtamaDuniaUtama

AS, Britain, Kanada keluar amaran perjalanan

Susulan protes CAB di bahagian Timur Laut India

NEW DELHI, 17 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada telah mengeluarkan amaran perjalanan susulan protes yang memuncak berikutan Pindaan Rang Undang-Undang Kewarganegaraan (CAB) yang meletus di bahagian Timur Laut India baru-baru ini.

“Warga AS di negeri Timur Laut India dinasihatkan berhati-hati susulan protes terhadap persetujuan mengenai pindaan rang undang-undang itu. Perintah berkurung di beberapa tempat turut diisytiharkan. Perkhidmatan telekomunikasi juga terjejas.

“Perkhidmatan pengangkutan mungkin terjejas di beberapa kawasan di rantau ini. Protes turut dilaporkan berlaku di kawasan lain di negara ini. Kerajaan AS telah menunda perjalanan rasmi ke Assam buat sementara waktu.”

Kerajaan Kanada dan British juga telah mengeluarkan amaran perjalanan yang sama, lapor agensi berita Xinhua pada Sabtu.

Protes besar-besaran turut berlaku di tiga negeri – Assam, Tripura dan Meghalaya berikutan itu pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung dan perkhidmatan internet turut digantung.

Penunjuk perasaan bertempur dengan pihak polis dan turut membakar beberapa tempat. Pada Khamis dua orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas polis menembak para penunjuk perasaan di Assam.

Protes merebak ke bahagian timur negara Bengal Barat, menyaksikan penunjuk perasaan membakar infrastruktur yang terdapat di stesen kereta api. Pertembungan antara pelajar dan polis turut berlaku di Delhi.

CAB bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Lok Sabha pada Isnin manakala, Dewan Negara atau Rajya Sabha meluluskannya pada Rabu.

Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Dua menteri Bangladesh telah membatalkan lawatan ke India dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe juga menangguhkan sidang kemuncaknya dengan Perdana Menteri, Narendra Modi di Assam.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close