Berita UtamaUtama

15 buah rumah bimbang diancam angin kencang

Ombak besar mula melanda ekoran musim tengkujuh

PASIR PUTEH, 17 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Penghuni lebih 15 buah rumah di pesisir Pantai Dalam Rhu di sini, kini berada dalam keadaan bimbang diancam angin kencang dan ombak besar yang mula melanda ekoran musim tengkujuh, yang dikhuatiri boleh menyebabkan hakisan pantai yang teruk.

Seorang penghuni, Siti Norazurawati Samion, 39, berkata, rumahnya kini hanya terletak kira-kira 20 meter dari pantai akibat berlaku hakisan setiap kali angin kencang dan laut bergelora pada musim tengkujuh, setiap tahun.

“Ketika banjir melanda dua minggu lepas, kira-kira 3 meter hakisan berlaku dan semakin mendekati rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Rhu di sini, hari ini.

Siti Norazurawati yang tinggal bersama 11 anggota keluarga termasuk tiga anak dan adik beradik yang lain berkata, angin kencang dan laut bergelora selepas subuh pagi tadi diikuti dengan hujan lebat amat merunsingkannya.

Katanya, keadaan seperti itu pernah beberapa kali dilalui pada 1987, 1996, 2001 dan terbaharu pada 2014 apabila keluarganya diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku, Semerak selama berminggu-minggu.

“Dalam keadaan yang sama hari ini, keluarga saya terpaksa berwaspada terutama pada waktu tengah malam dibimbangi ombak memasuki sehingga ke dalam rumah,” katanya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Maritim, Muhd Nur Syam Asmawi Yaacob berkata, penduduk yang tinggal di persisiran pantai diharap mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mendekati kawasan pantai.

Beliau berkata, dalam situasi kini, risikonya terlalu tinggi kerana ombak besar boleh melanda pada bila-bila masa.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close