Uncategorized

Israel bangkit kemarahan penduduk Palestin

Berlaku pertempuran ekoran tahan puluhan pemimpin Hamas

HEBRON, 16 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Pasukan keselamatan negara tidak diiktiraf Israel dilaporkan bertempur dengan sebahagian penduduk Palestin, semalam susulan tindakan menahan puluhan pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Menurut sumber, pertempuran berlaku ketika rejim Zionis melancarkan serbuan di Hebron dan kawasan sekitar dalam usaha mencari pemimpin pergerakan berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kes kematian atau kecederaan dilaporkan ekoran daripada pertempuran berkenaan.

Dalam pada itu, tindakan Israel menahan pemimpin Hamas merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan menjelang sambutan ulang tahun penubuhan pergerakan itu sejak tahun 1987.

Bagaimanapun, rejim Zionis tidak memberi sebarang maklum balas segera berhubung dakwaan yang terpalit terhadap mereka.

Sumber tempatan berkata, antara mereka yang ditahan adalah bekas Menteri Kerajaan Tempatan Hamas, Issa Al-Jabari dan salah seorang kepemimpinan tertinggi pergerakan berkenaan iaitu Abdel Khaliq al-Natsheh.

Agensi berita al-Rai melaporkan, pemimpin lain yang turut ditahan termasuk Jamal al-Natsheh, Jawad al-Natsheh, Amr Qawasmi dan Mazen al-Natsheh.

Jurucakap pergerakan Hamas, Adbel Latif al-Qanou berkata, tindakan berkenaan merupakan satu perlakuan tidak bermoral dalam usaha melemahkan pergerakan Hamas terutamanya golongan muda selepas kehilangan ramai pemimpin.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga bagi berdepan dengan sambutan ulang tahun Hamas, pihak berkuasa kerajaan tidak diiktiraf Israel memperketatkan kawalan keselamatan di Tebing Barat dan di sepanjang sempadan Gaza. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close