Berita UtamaUtama

UMNO Perak cabar Aziz minta kerajaan pinda Perlembagaan

Perkara 91 beri kuasa kerajaan tubuh MTN urus hal ehwal tanah

BANGI, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – UMNO Perak mencabar Dr Abdul Aziz Bari meminta Kerajaan Persekutuan meminda Perlembagaan atau mencabar keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) sebelum membolehkan pemberian hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, MTN ditubuhkan mengikut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, apa-apa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan Perlembagaan dan tidak boleh dipinda. 

“Jika ianya mahu diubah, Aziz perlulah mencabar di mahkamah ataupun membawa isu ini ke Dewan Rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, janji manifesto PH Perak boleh dilaksana kerana soal tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan  atau melanggar ketetapan Mesyuarat MTN. 

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan MTN tidak mengambil alih kuasa penuh negeri ke atas tanah serta hanya menetapkan soal dasar dan terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak.

“Jadi bukan soal keputusan hendak buat atau tidak, bukan soal tuntutan DAP ia adalah tawaran PH Perak, ini yang saya ingin tegaskan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak menegaskan, Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan MTN untuk menguruskan hal ehwal tanah.

“Manakala perkara 91(5) Perlembagaan yang sama jelas menyatakan Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikut dasar yang dibentuk oleh majlis itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkan Aziz berkenaan Pekelililing Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/2018.

“Di bawah perkara 3 pekeliling berkenaan, Majlis Tanah Negara yang ke-42 dan ke-53 telah memutuskan supaya tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan tempoh pajakan tidak melebihi 90 tahun.

“Aziz juga mesti melihat sejarah, dan memahami isu pemberian hak milik 999 tahun pada tahun 2008,” katanya.

Polemik ini tercetus apabila DAP Perak kerap kali menuntut kerajaan negeri menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, beberapa janji lain yang terkandung dalam buku manifesto tawaran PH PRU-14 lalu juga akan dituntut.

Bagaimanapun, 13 Ogos tahun lalu, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 sudah menjelaskan bahawa pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat MTN pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close