Berita UtamaUtama

Tarikh PRK Kimanis ditentukan Isnin depan: SPR

Mesyuarat khas bincang juga persiapan lain laksana pilihan raya

BANGI, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan diadakan pada Isnin depan di Menara Suruhanjaya Pilihara Raya Malaysia (SPR), Putrajaya.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan, serta persiapan lain diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman pada pilihan raya umum lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Petisyen itu difailkan Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membayar kos kepada Karim sebanyak RM100,000.

Karim memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas dan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah PRK kesepuluh diadakan sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, Mei tahun lalu.

Sembilan PRK sebelum ini adalah di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018), Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019), DUN Semenyih (2 Mac 2019), DUN Rantau (13 April 2019), Parlimen Sandakan (11 Mei 2019) dan Parlimen Tanjung Piai (16 November 2019).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close