Berita UtamaDuniaUtama

Suu Kyi masih berkeras pertahan rejim Myanmar di Rakhine

Pemimpin de facto dakwa Gambia beri maklumat tidak lengkap, keliru

THE HAGUE, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi tetap mempertahankan operasi ketenteraan ke atas etnik minoriti Rohingya di Rakhine, sekali gus menolak dakwaan terbabit dengan ‘pembersihan kaum’.

Ketika membacakan kenyataan pembelaannya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) semalam, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu mengakui bahawa tentera Myanmar mungkin menggunakan kekerasan yang tidak seimbang, tetapi bukan bermakna ia cubaan menghapuskan kumpulan minoriti itu.

“Malangnya, Gambia memberikan gambaran yang mengelirukan dan tidak lengkap mengenai keadaan di Rakhine,” kata Suu Kyi memberitahu mahkamah.

Tuduhan ke atas Myanmar itu dibawa ke ICJ oleh Gambia – penduduknya majoriti Islam – mewakili Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC).

Gambia menuduh Myanmar melanggar konvensyen genosid 1948 dan meminta mahkamah, yang ditubuhkan pada 1946 untuk mengendalikan pertikaian antara negara anggota PBB, untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan keganasan daripada berlanjutan.

Dalam pembelaannya juga, Suu Kyi mendakwa bahawa tindakan ketenteraan adalah tindak balas terhadap serangan ratusan penyerang Rohingya pada tahun 2017.

“Tidak boleh diketepikan kekuatan yang tidak seimbang digunakan oleh anggota perkhidmatan pertahanan dalam beberapa kes tanpa mengendahkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, atau tidak membezakan dengan jelas antara penyerang dan orang awam.

“Kita (Myanmar) juga sedang melakukan siasatan berhubung perkara itu, namun dalam keadaan penghapusan etnik tidak sepatutnya dijadikan rumusan,” katanya.

Ribuan rakyat Myanmar berdemonstrasi di Yangon bagi menyatakan sokongan terhadap Suu Kyi, 74, yang hanya berdiam diri tentang nasib Rohingya, hingga merosakkan reputasi antarabangsanya sebagai ikon hak asasi manusia.

Kira-kira 740,000 orang Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh selepas dikenakan tindakan keras oleh tentera Myanmar pada 2017, dengan penyiasat PBB menggambarkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close