Berita UtamaUtama

Scam China: Susah sangatkah nak tangkap dalang?

Siapa warga tempatan bersekongkol babitkan pihak berjawatan tinggi?

BANGI, 15 Rabiulawal 1441H, Khamis – Dalam tempoh lebih kurang tiga bulan, sudah empat sindiket membabitkan warga China telah dibongkar oleh pihak berkuasa iaitu di Pulau Pinang, Cyberjaya, Sabah dan Ipoh.

Kesal dengan perkara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, dalang yang membawa masuk dan mengumpulkan semua warganegara China untuk menjalankan operasi jenayah di Malaysia masih belum dikesan sehingga kini.

“Sukar sangatkah bagi pihak berkuasa mengenal pasti dalang kepada semua sindiket ini?

“Siapa warga tempatan yang bersekongkol atau sebenarnya ia membabitkan pihak yang berjawatan tinggi, seperti yang berlaku dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang?

“Yang menghairankan, sindiket-sindiket ini menggunakan premis mewah sebagai pusat operasi mereka menunjukkan operasi yang begitu tersusun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak berjaya menahan 40 warga China dipercayai saki-baki mereka yang melarikan diri ketika operasi di Cyberjaya bulan lepas.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata, warga China berkenaan terdiri daripada 38 lelaki serta dua wanita berumur antara 18 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail, Ipoh.

Pada 20 November lalu, seramai 680 warga negara China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.

Semua mereka dipercayai menjalankan aktiviti scam atau penipuan secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

Malah, pada bulan sama, polis juga menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian di sebuah taman perumahan di Klebang, Melaka yang juga membabitkan warga China.

Sebanyak enam premis di kawasan perumahan itu diserbu dalam gerakan ‘Op Pelican’ selama lima jam, sebelum 51 warga China, termasuk 10 wanita ditahan bersama seorang lelaki serta seorang wanita tempatan.

Mengulas lanjut, Amzad berkata, sindiket yang membabitkan penangkapan warganegara China berskala besar ini kebanyakannya memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk pas lawatan sosial.

Lantaran itu, Amzad berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Laporan Ketua Audit Negara 2018 – yang melaporkan bahawa wujudnya kelemahan dalaman yang serius ketika pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (enTRI) dan MyIMMs di pintu masuk pelancong.

Katanya, perkara itu penting bagi mengenal pasti jika wujud sebarang unsur pecah amanah.

“Rakyat mahukan tindakan pantas daripada kerajaan untuk mengenal pasti dalang kepada semua sindiket ini.

“Tidak cukup dengan warganegara China ini ditangkap, perketatkan juga syarat Visa untuk mereka masuk ke Malaysia.

“Malaysia sudah tidak tenteram dengan kedatangan warganegara China ini atas tiket pelancong, kemudian menyalahgunakannya bagi menipu rakyat kita pula,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close