Berita UtamaUtama

Malaysia mesti sokong usaha berani Gambia fail kes di ICJ

Rejim Myanmar langgar hak asasi etnik minoriti Islam Rohingya

BANGI, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Keberanian Gambia – negara terkecil di Afrika Barat – memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Myanmar di atas kekejaman terhadap etnik Rohingya perlu mendapat sokongan sepenuhnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha berani Gambia yang dikira sebagai ‘unprecedented case’ wajar disokong oleh Malaysia, sebagai satu bentuk sokongan bilateral, selain sokongan yang diberikan melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat multilateral.

“PAS mengambil maklum berkenaan kes yang dibawa oleh Gambia terhadap Myanmar ke ICJ yang dibicarakan pada 10 Disember 2019 di The Hague.

“PAS menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh Gambia dalam mengekang tindakan penghapusan kaum yang dilakukan oleh negara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada November lalu, Gambia memfailkan satu kes di ICJ menuduh Myanmar melakukan genosid ke atas Rohingya.

Negara majoriti muslim itu bertindak bagi pihak OIC yang dianggotai 57 negara mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Pembunuhan Beramai-Ramai 1948.

Ia adalah kes pembunuhan beramai-ramai ketiga difailkan di mahkamah itu sejak Perang Dunia Kedua.

Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi menekankan bahawa kekejaman Kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya adalah suatu pelanggaran hak asasi manusia.

Bahkan kata Ahli Parlimen Marang itu, ajaran agama juga melarang penganiayaan terhadap manusia.

“Justeru dengan bermulanya perbicaraan mengenai salah laku dan kekejaman Kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya akan membawa pesalah ke muka pengadilan antarabangsa,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close