Berita UtamaUtama

Konflik PKR: ‘Mereka bukan nak bantu rakyat, tapi rebut kuasa’

Perbalahan cetus syak wasangka Malaysia dalam 'tangan' yang salah

BANGI, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Pertelingkahan yang berlaku dalam PKR ketika ini akan menambahkan syak wasangka di kalangan pelabur asing, bahawa Malaysia kini berada dalam tangan yang salah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sejak perubahan pentadbiran, berbilion ringgit pelaburan asing meninggalkan Bursa Malaysia, dan menjadikannya prestasi terburuk di dunia sepanjang setahun ini.

Beliau kesal apabila perselisihan yang berlaku dalam PKR bukanlah kerana mahu mencari jalan mengatasi kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham, atau mencari punca hutang negara semakin meningkat.

“Persengketaan mereka bukan soal bagaimana nak bantu kehidupan orang kampung, petani, nelayan, peneroka Felda dan pekebun kecil yang semakin menderita serta tidak mendapat bantuan mencukupi untuk menampung kos sara hidup semakin melambung.

“Atau bagaimana mahu membantu peniaga kecil yang kian tersepit dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini. Tetapi, mereka bergaduh mengenai milik siapa jawatan Perdana Menteri dan sampai bila,” katanya dalam satu kenyataan.

Suasana politik PKR didakwa tegang ketika ini, susulan pertelingkahan yang berlaku di antara dua kem – babit Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Ahad lalu, hari terakhir Kongres Nasional PKR berlangsung tanpa kehadiran Mohamed Azmin serta pimpinan yang menyokongnya, didakwa sebagai memboikot majlis penggulungan dan penangguhan kongres itu.

Sehari sebelumnya, satu sidang media diadakan oleh Mohamed Azmin yang mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, persetujuan yang gagal dipatuhi itu membabitkan jaminan Anwar supaya komposisi pembahas adalah adil dan mewakili semua pihak, selain pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Mohamad Hasan menyifatkan perbalahan yang diwarnai dengan skandal dan ‘power play’ antara dua kem berkenaan menjurus kepada perebutan kuasa dalam kerajaan.

“Pergaduhan mereka ialah mengenai siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri dan siapa punya skandal lebih buruk dan hangat sensasi.

“Yang amat membimbangkan kita ialah pergaduhan ini sudah mula membabitkan menteri-menteri dari PKR yang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara. Apalah nak jadi dengan Malaysia baru ni. Dah jadi Malaysia haru-biru,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close