Berita UtamaUtama

Syarat Tun M beri cabaran kepada Anwar

Kerajaan pintu belakang berisiko calar imej Dr Mahathir

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Jika Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ia bermakna tempoh beliau berkhidmat sudah mencapai lebih kurang tiga tahun.

Tempoh berkenaan, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali adalah mencukupi bagi Dr Mahathir menyediakan tapak tugas bagi Perdana Menteri seterusnya.

“Tun Dr Mahathir telah berkali-kali mengatakan bahawa beliau bersedia untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui secara konsensus dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dan semalam beliau masih mengulangi perkara yang sama iaitu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas Persidangan APEC hujung tahun hadapan. Saya kira tempoh tiga tahun sudah mencukupi buat beliau menyerahkan tugasnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penggantinya, Anwar biarpun bekas timbalannya itu berhadapan dakwaan serangan seksual terbaharu.

“Saya sudah berjanji untuk menyerahkannya dan saya akan tunaikan, saya fikir perubahan sejurus sebelum sidang kemuncak APEC akan mengganggu keadaan.

“Bagi saya, saya akan meletak jawatan dan saya menyerahkan kepadanya (Anwar). Jika orang tidak mahu dia, itu urusan mereka tetapi saya akan tunaikan bahagian janji saya…biarpun apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan tunaikan,” katanya dalam temubual bersama Reuters.

Bagaimanapun, Dr Mazlan berkata, harus diingat bahawa terdapat dua perkara penting yang Dr Mahathir pernah sebutkan sebagai syarat beliau menyerahkan jawatan tersebut.

Iaitu yang pertama, keadaan ekonomi yang baik dan kedua, kestabilan politik dalam PH, katanya.

“Saya fikir syarat pertama itu boleh dicapai, tetapi syarat yang kedua itu agak memberi cabaran besar kepada Anwar memandangkan pergolakan besar yang berlaku dalam PKR sekarang,” katanya.

Pergolakan kepimpinan yang sedang melanda parti itu ketika ini bukan lagi satu rahsia, malah umum mengetahui PKR kini terbahagi kepada dua kem kepimpinan yang berbeza.

Di satu pihak, ahli-ahlinya menyokong penuh kepimpinan Anwar selaku Presiden parti, manakala di satu pihak lagi menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kelihatan sudah tidak lagi sehaluan dengan parti.

Namun, Dr Mazlan berpendapat bahawa Anwar masih berpeluang untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri, kerana beliau masih mempunyai asas sokongan yang kuat dari PH.

“Pada masa ini, sokongan PH kepada Anwar masih utuh, kecuali terdapat kemungkinan pemberontakan dari sekurangnya-kurangnya 15 Ahli Parlimen dari PKR yang menyokong Azmin.

“Kemungkinan Azmin berjaya membuka kerajaan pintu belakang juga ada kerana menurut sumber-sumber yang dipercayai, pembentukan kerajaan solid Melayu paling tinggi pun dengan 95 Ahli Parlimen yang menyokong,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, pembentukan kerajaan pintu belakang juga berisiko kerana imej Dr Mahathir akan tercalar serta pandangan serong masyarakat antarabangsa akan memberi kesan kepada ekonomi dan hubungan luar Malaysia.

“Saya percaya isu jawatan PM dan pergelutan dalam PKR memberi kesan buruk di mata rakyat dan imej PH akan bertambah merudum.

“Justeru, kerajaan PH perlu memfokuskan usaha-usaha meningkatkan ekonomi dan mengurangkan kos hidup rakyat serta meningkatkan kemakmuran,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close