Berita UtamaPendapatUtama

Polio muncul selepas 27 tahun

Virus serang saraf motor tubuh manusia, akibatkan lumpuh

TAHUKAH anda apakah itu penyakit polio atau pun singkatan kepada poliomyelitis?

Saya yakin tidak ramai dari kita terutama generasi yg lahir selepas tahun 1980’an yang tahu mengenai penyakit ini, apatah lagi pernah melihatnya.

Sudah tentu kerana kes polio terakhir yang dilaporkan di negara kita adalah pada tahun 1992, dan negara kita telah pun diisytiharkan sebagai bebas polio sejak tahun 2000.

Malangnya, tanggal 8 Disember yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah mengumumkan kes pertama wabak polio di Malaysia telah pun disahkan di Tuaran, Sabah.

Ya, selepas 27 tahun negara kita diisytiharkan bebas dari wabak berbahaya ini, ia muncul kembali mengakibatkan seorang anak kecil berusia 3 bulan mengalami gejala demam dan lemah anggota badannya secara mengejut.

Walaupun bayi ini telah menerima dos pertama dalam jadual vaksin polio pada usia 2 bulan, namun dos itu belum mencukupi untuk membentuk tahap imunisasi yang secukupnya.

Sebelum pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan pada tahun 1972, penyakit polio memang digeruni kerana kesan jangkitannya yang serius.

Satu dalam 1000 kes yang dijangkiti virus ini boleh menyerang saraf motor tubuh manusia yang mengakibatkan kelumpuhan secara akut.

Ada pihak yang membahaskan pelbagai faktor yang membabitkan kemunculan semula penyakit ini.

Tetapi, faktor utama yang tidak boleh disangkal lagi ialah akibat merosotnya tahap imuniti berkelompok atau disebut sebagai ‘herd immunity’ di dalam komuniti bayi berkenaan.

Penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati bilangan kanak-kanak di dalam komuniti itu yang menerima vaksin polio secukupnya menurun sebanyak 11.6 peratus kepada 89 peratus. (Kenyataan Akhbar KPK 8 Disember 2019 -Kejadian Kes Polio Pertama Setelah Malaysia Diisytiharkan Bebas Polio) :point_left:

Kajian terdahulu membuktikan tahap imuniti berkelompok di sesuatu komuniti haruslah mencakupi lebih dari kadar 95 peratus, bagi memastikan sesuatu penyakit atau wabak dapat dibasmi.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak terutama ibubapa kepada anak-anak untuk perihatin mengenai tahap kesihatan anak-anak kita dan mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan anak-anak kita semua menerima vaksin mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Diharapkan kita tidaklah hanya jadi gundah gulana tatkala setiap kali munculnya wabak penyakit berbahaya. Ingatlah, setiap dari kita memikul amanah untuk bersama-sama menjaga kemaslahatan masyarakat agar bebas dari sebarang gejala yang berbahaya.

Dr Nor Azyati Yusoff
Pakar Perubatan Kanak-Kanak
Universiti Putra Malaysia
Ketua Wanita Isma Kajang

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close