Berita UtamaUtama

Penganggur didakwa cedera, ugut bunuh, simbah asid isteri

Tertuduh dibenar ikat jamin RM20,000, bersyarat tidak ganggu mangsa

MELAKA, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh serta menyimbah asid terhadap isterinya, November lepas.

Mohd Saliheen Bakar, 35, yang juga bapa kepada empat anak membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya yang berusia 32 tahun, menggunakan rotan berukuran kira-kira satu meter di sebuah rumah di Kampung Padang Temu, di sini, pada 2 pagi, 17 November lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu dengan cara mengugut bunuh dan menyimbah asid bagi maksud hendak menakutkan mangsa di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan.

Norma membenarkan Mohd Saliheen diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak dibenar mengacau ganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close