Berita UtamaUtama

Netizen hentam golongan antivaksin kerana kes polio

Cukuplah cara mendidik, kerajaan perlu kuat kuasakan undang-undang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Kes bayi lelaki berusia tiga bulan yang disahkan dijangkiti virus polio setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu, menggusarkan pengguna media sosial khususnya golongan ibu bapa.

Sejak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes babit bayi dari Tuaran, Sabah itu netizen mula berkongsi fakta mengenai virus berkenaan, sekali gus mengaitkan jangkitan berkenaan dengan golongan antivaksin.

Rata-rata netizen menyifatkan golongan antivaksin adalah punca kepada penyakit berjangkit, yang sepatutnya boleh dicegah jika bayi atau kanak-kanak mengambil imunisasi seperti ditetapkan.

“Puak antivaksin tolonglah stop berdegil dan tidak taat. Tinggal di Malaysia, ikutlah undang-undang negara yang kerajaan dah gariskan. Bawah kerajaan ada jabatan agama dan mufti dah isytihar wajib ibu bapa untuk vaksinkan anak-anak,” tulis Sarah Hanim.

“Pelik betul yang antivaksin. Apa yang hampa cuba nak perjuangkan? Vaksinkan sajalah anak tu, apa yang susahnya dekat klinik kesihatan dapat percuma lagi. Tolong jangan pentingkan diri,” tulis Sobmasso Leo.

“Disebabkan ibu bapa yang antivaksin, anak yang jadi mangsa,” kata Jeannety Jeyn L.

Sementara itu, Asymawi Abdul Aziz menyifatkan isu vaksin seperti tiada pengakhiran, di mana golongan yang anti untuk mengambil imunisasi akan terus berpendirian sama jika penguatkuasaan undang-undang tidak diwujudkan.

“Cukuplah dah berpuluh tahun guna cara mendidik. Dah tiba masa untuk kerajaan menguatkuasakan undang-undang mewajibkan vaksin,” katanya.

“Kalau boleh asingkan gen anti vaksin. Kalau berjangkit biarkan sesama mereka yang kena,” tulis Nazrin Ramli.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah mendapati 23 daripada 199 orang atau 11.6 peratus yang berumur di antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan circulating vaccine-derived poliovirus (cVPDV) hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio,” katanya.

Untuk rekod, penyakit polio merupakan penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close