Berita UtamaUtama

Muhammad Hanif Juruaudit Syariah termuda ditauliah CPSA

CPSA perkuat kewangan Islam untuk raih tadbir urus lebih baik

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Pertubuhan Ikatan Akauntan Muslim Malaysia (iAkauntan) hari ini mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hanif Aminuddin, apabila ditauliahkan sebagai Juruaudit Syariah Diperakui Professional (CPSA).

Pengerusinya, Hazwan Mohamad berkata, pengiktirafan itu sekali gus menjadikan Hanif yang juga ahli berdaftar iAkauntan sebagai juruaudit terawal dan termuda berjaya mendapatkan pentauliahan CPSA.

“Sejajar dengan pertumbuhan institusi kewangan Islam (IFI) yang semakin tinggi, pihak Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lagi Juruaudit Syariah, yang berkelayakan dengan pengetahuan perakaunan, audit, risiko dan tadbir urus syariah yang bersepadu melalui program CPSA ini,” katanya.

Majlis penganugerahan itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Ir Aminuddin Hamzah pada 6 Disember lalu.

Terdahulu, Amiruddin berkata, program ini adalah selaras dengan Dasar Tadbir Urus Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) 2019, di mana Juruaudit Syariah yang berkelayakan menjadi satu keperluan bagi membolehkan IFI menjalankan proses jaminan dalaman ke arah pematuhan Syariah.

Dianjurkan secara bersama oleh IBFIM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), program CPSA mengandungi enam modul yang meliputi topik seperti Asas-asas Syariah bagi Kewangan Islam, Perakaunan dan Pelaporan bagi Transaksi Kewangan Islam serta Kawalan Dalaman dan Pengurusan Risiko Syariah.

Pada majlis sama, Amiruddin menyampaikan sijil CPSA kepada 36 peserta, yang terdiri daripada 17 peserta daripada Persatuan Firma-Firma Akauntan Bertauliah Melayu Malaysia dan 19 pelajar USIM.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, program CPSA diadakan untuk memanfaatkan kekuatan perbankan dan kewangan Islam dalam usaha untuk meraih kebolehcapaian, tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik.

Lantaran itu, ia mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Semoga pencapaian Hanif mampu memberi inspirasi kepada semua akauntan Bumiputera ke arah mencapai akauntan bertauliah, secara tidak langsung meramaikan lagi akauntan bertauliah dalam kalangan Melayu Bumiputera,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close