Berita UtamaDunia

Dua pemimpin pembangkang Bangladesh, 500 penyokong ditahan polis

Protes tuntut PM letak jawatan ekoran kos sara hidup meningkat

DHAKA, 15 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Dua pemimpin parti pembangkang Bangladesh ditahan pasukan polis selepas merancang mengadakan perhimpunan jalanan bagi menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.

Perhimpunan berkenaan diadakan sebagai bantahan berikutan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang meningkat.

Jurucakap media Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Zahiruddin Swapan berkata, Setiausaha BNP, Mirza Fakhrul Islam Alamgir, dan Mirza Abas yang merupakan bekas menteri antara yang ditahan di kediaman mereka kira-kira jam 3 pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap Polis Dhaka, Faruq Ahmed berkata, kedua-dua pemimpin pembangkang itu ditahan kerana mencetuskan keganasan selain menghalang tugas penjawat awam.

Terdahulu, BNP menggesa Hasina berundur dan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

Situasi berkenaan memaksa pasukan polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan yang terdiri daripada penyokong BNP yang berhimpun sebagai persiapan untuk mengadakan perhimpunan jalanan, hari ini.

Kejadian berkenaan menyebabkan seorang terbunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Sementara itu, Zahiruddin mendakwa polis menahan kira-kira 2,000 penyokong BNP bagi menghalang perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, Polis Dhaka menjelaskan hanya 500 aktivis dan penyokong BNP yang ditahan di atas pelbagai pertuduhan termasuk menyerang polis semasa pertempuran berhampiran ibu pejabat parti berkenaan, kelmarin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button