Berita UtamaUtama

Krisis Anwar-Azmin bukan kerana rebut jawatan PM

Senator PKR akui bukan pertama kali konflik dalam parti berlaku

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Ahli Dewan Negara, Senator Ismail Yusop menolak dakwaan konflik yang berlaku di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah disebabkan perebutan jawatan perdana menteri.

Tanpa mengulas jelas punca konflik tercetus, beliau berkata, keputusan untuk memilih Anwar sebagai perdana menteri bukan sahaja diputuskan di peringkat Pakatan Harapan (PH), bahkan dipersetujui sendiri pimpinan serta ahli PKR.

Ismail berkata, beliau yakin semua ahli tidak kira daripada kem Mohamed Azmin bersetuju bahawa individu yang layak diberi peluang adalah Anwar.

“Politik kita tak boleh halang daripada persepsi luar. Tetapi akhirnya ialah bagaimana kita nak mengimbangi suara dalam parti yang ada macam-macam cara. Orang tak boleh serang dari luar, serang pula dari dalam.

“Namun, apa yang penting bagi kita adalah bagaimana kita menguruskan krisis ini kerana ia bukan kali pertama berlaku di dalam Keadilan,” katanya dalam temu bual Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam ini.

Ahad lalu, hari terakhir Kongres Nasional PKR berlangsung tanpa kehadiran Mohamed Azmin serta pimpinan yang menyokongnya, didakwa sebagai memboikot majlis penggulungan dan penangguhan kongres itu.

Sehari sebelumnya, satu sidang media diadakan oleh Mohamed Azmin yang mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, persetujuan yang gagal dipatuhi itu membabitkan jaminan Anwar supaya komposisi pembahas adalah adil dan mewakili semua pihak, selain pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

Mengulas mengenai konflik yang berlaku ketika Kongres Nasional PKR , Ismail berkata, rakyat pastinya boleh menilai siapa yang berpegang kepada disiplin organisasi.

“Disiplin organisasi adalah nombor satu. Di luar sana, rakyat mengikuti perkembangan ini, jadi kita tidak boleh memandang rendah dengan kebijaksanaan mereka.

“Kita lihat ada dua puak berbeza, tetapi akhir sekali saya percaya orang dapat menilai siapa yang berpegang dengan disiplin organisasi dan siapa tidak,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close