Berita UtamaUtama

Isma sambut baik inisiatif PDRM laksana ujian agama, moral

Syor anggota polis amal solat berjemaah, tingkat rasa cinta negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin  

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan memastikan setiap permohonan anggota baharu perlu lulus ujian penilaian agama dan moral sebelum diterima masuk ke dalam unit beruniform itu bermula tahun depan.

Naib Presiden Isma, Ustazah Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, pelaksanaan ini adalah satu indikator kepada integriti, kejujuran dan juga amanah dalam tanggungjawab setiap anggota polis.

Ia juga dapat membantu meningkatkan kepercayaan orang awam kepada kewibawaan polis, katanya.

“Kalau kita tengok sendiri, ada polis terjebak dengan aktiviti rasuah, dadah dan sebagainya. Saringan ini dapat membantu untuk menyediakan anggota polis yang lebih berintergriti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pelaksanaan itu adalah bagi memastikan setiap anggota yang diambil mempunyai tahap integriti serta nilai moral dan agama yang tinggi.

“Aspek agama ditekankan bagi calon beragama Islam manakala pendidikan moral bagi calon bukan beragama Islam menerusi ujian secara atas talian dan temu duga.

“Kita perlu faham bahawa pendidikan agama penting jika tiada ‘pendinding’ itu akan menyebabkan mereka-mereka ini terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.

Pada masa sama, Ustazah Norsaleha turut mengesyorkan supaya Malaysia mencontohi pasukan Briged Al Qassam iaitu unit tentera Palestin di bawah Hamas, yang mana dari kalangan mereka tidak meninggalkan solat berjemaah, terutamanya solat Subuh. 

“Kita patut contohi mereka dalam mengamalkan solat berjemaah, termasuk solat Subuh dan solat tahajud. Bukan sahaja saringan ujian agama, pastikan juga anggota polis tak tinggal solat, solat jemaah.

“Nilai kerohanian akan menjamin kesetiaan polis kepada agama dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Maknanya apabila polis mempunyai pegangan agama yang tinggi, kesetiaan dia dan juga semangat cintakan negara, nak mempertahankan tanah air daripada musuh-musuh negara juga tinggi,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close