Berita UtamaUtama

IBS bantu bina kediaman dengan kos lebih efisien

Kerajaan harus punya dasar jelas pastikan rumah mampu milik murah

BANGI, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Jika benar margin keuntungan jualan rumah mampu milik adalah sedikit, maka usaha penstrukturan semula kos perlu dilakukan secara efisyen, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau berkata demikian setelah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, keuntungan margin rumah mampu milik tidak besar dan pihaknya tidak boleh memaksa setiap projek rumah mampu milik menggunakan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Mengulas kenyataan itu, Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada harga jualan rumah mampu milik sukar diturunkan kerana margin keuntungannya kecil.

Beliau berkata, salah satu mekanisme untuk memastikan kos pembinaan berada pada tahap yang efisyen ialah dengan menggunakan secara penuh aplikasi sistem teknologi seperti IBS.

“Selain mampu mengurangkan kos, IBS juga mampu menyiapkan projek dalam tempoh singkat. Justeru, pelaburan terhadap teknologi pembinaan perlu diutamakan termasuk memberikan latihan awal kepada para pekerja industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, objektif penggunaan teknologi pembinaan seperti IBS adalah untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh asing. 

“Setakat ini, jumlah pekerja asing dalam sektor pembinaan seramai 330,000 orang, kira-kira 19 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia yang dianggarkan sekitar 1.75 juta orang. 

“Sebagai rekod, had penggajian pekerja asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja (15.67 juta : S3 2019). Meskipun jumlah tersebut masih rendah, namun isu aliran keluar wang dan keselamatan negara adalah prioriti utama,” katanya.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga rumah mampu milik yang perlu ditawarkan ialah RM282,000 sahaja bagi pendapatan median bulanan isi rumah (RM5,228). 

Namun, harga rumah mampu milik di pasaran ketika ini adalah 11 peratus lebih tinggi iaitu kira-kira RM313,000.

Justeru, Ahmad Fadhli menegaskan, kerajaan harus mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas mengenai hal ini terutama untuk memastikan aksesibiliti kepada rumah mampu milik lebih terjamin, tersedia dan pada harga yang lebih murah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close