Berita UtamaUtama

UEC: UMNO tiada pendirian terkini

Manifesto BN kena syarat lulus BM, Sejarah ditolak Cina

Oleh Fazleen Safina

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulakhir 1441H, Selasa – UMNO masih belum ada keputusan ataupun pendirian terkini berkenaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, keputusan hanya akan dilakukan sekiranya ada pihak yang membangkitkan perkara itu sekali lagi pada masa hadapan.

Katanya lagi, keputusan Barisan Nasional (BN) setakat ini adalah dengan meletakkan syarat lulus kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah untuk mengiktiraf peperiksaan berkenaan.

“Pendapat kita sama seperti sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) lepas. Kita hanya akan iktiraf UEC sekiranya lulus dengan kredit subjek BM dan Sejarah, kerana kita faham bahawa Perlembagaan negara kita sebelum ini telah bersetuju dengan sekolah vernakular.

“Kita juga tak nafikan ramai di antara mereka yang masuk sekolah vernakular telah melanjutkan pelajaran dan juga pemegang sijil UEC.

“Walau bagaimanpun, saya juga nak tegaskan bahawa manifesto BN telah ditolak oleh seramai 70 peratus pengundi Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, PAS berpegang dengan pendirian untuk terus membantah sebarang tindakan bagi mengiktiraf UEC.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, parti itu akan konsisten dengan pendiriannya, walaupun wujud desakan dari MCA supaya mengiktiraf UEC.

Beliau berkata, walaupun PAS menyokong MCA dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, itu bukan bermakna semua pendirian parti itu diterima oleh mereka.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menuntut penjelasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai usaha mengiktiraf UEC ketika sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam perbahasan Belanjawan 2020 Kementerian Pendidikan, Jeck Seng ingin tahu sama ada Pasukan Petugas Khas Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) dibentuk untuk memudahkan pelaksanaan janji manifesto PH mengiktiraf sijil berkenaan.

Pemimpin MCA itu turut menuntut jaminan dari kerajaan supaya tiada perubahan dibuat dalam rangka asas sistem peperiksaan UEC dan membenarkannya terus dikendalikan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close