Berita UtamaDuniaUtama

Palestin dipaksa setuju bina rumah haram Yahudi

Israel ugut tarik hak milik tanah jika gagal patuhi rancangan

TEBING BARAT, 13 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Israel memberi kata dua kepada Perbandaran Palestin di Hebron sama ada bersetuju dengan rancangan baharu pembinaan perumahan haram Yahudi atau bakal kehilangan hak ke atas tanah berkenaan.

Akhbar rejim itu melaporkan, Menteri Pertahanan Israel, Naftali Bennett telah menghantar surat kepada Perbandaran Palestin pada 1 Disember lalu, melalui Pejabat Koordinator Aktiviti Kerajaan di bandar berkenaan.

Surat berkenaan menyatakan, jika pihak perbandaran Palestin gagal mematuhi rancangan itu dalam tempoh 30 hari, prosiding undang-undang akan dikenakan bagi mengangkat status hak pemilikan tanah.

Pelan itu – yang pertama dicadangkan Ketua parti Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman – menyatakan bahawa Perbandaran Palestin mesti menerima perobohan pasar borong yang terletak di Old City dan menerima pembinaan baharu rumah haram Yahudi.

Akhbar Israel mendakwa, pelan itu akan memberi Perbandaran Palestin hak untuk mengekalkan tingkat bawah projek baharu untuk digunakan sebagai pasar.

Akhbar itu turut melaporkan, wakil perbandaran, Samer Shehadeh menyifatkan surat Israel sebagai ancaman dan cubaan untuk memberi tekanan kepada perbandaran bagi memberi persetujuan ke atas rancangan berkenaan.

Sehingga kini, kira-kira 600,000 penduduk Israel ‘menumpang’ di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak tahun 1967 di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Palestin mengimpikan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada wilayah ‘masa depan’ Palestin dan Baitulmaqdis menjadi ibu negaranya.

Fasa terakhir rundingan Israel-Palestin musnah pada 2014, berikutan sifat tamak Zionis yang berterusan memperluaskan rumah haram Yahudi di wilayah itu.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close