Berita UtamaUtama

Negaraku Mandarin: Silibus vernakular punca masalah

Ubah lagu kebangsaan konon untuk pemahaman tak patut wujud

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Isu nyanyian lagu Negaraku diubah ke bahasa Mandarin timbul ekoran wujudnya silibus sekolah vernakular yang tidak mengangkat bahasa kebangsaan dalam kurikulum mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, isu lagu kebangsaan yang diubah ke bahasa Mandarin kononnya bagi tujuan pengajaran dan pemahaman tidak sepatutnya wujud di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya sekolah vernakular menggunakan silibus yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), pastinya tidak wujud keperluan untuk guru mengajar lagu kebangsaan dalam bahasa Mandarin.

“Perkara ini terjadi kerana wujudnya silibus di sekolah vernakular yang tidak mengangkat bahasa kebangsaan dan kepentingan membentuk jati diri menjadi seorang rakyat Malaysia yang sebenar, pada tahap sepatutnya.

“Bukan hanya silibus yang perlu ditukar tetapi sekolah-sekolah vernakular juga perlu dimansuhkan dan membentuk sekolah kebangsaan yang menggunakan silibus sama, iaitu menepati piawaian dari kementerian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Minggu lalu, video berdurasi 1:22 minit tular, memaparkan murid sekolah – dipercayai berlaku di sekolah vernakular Cina – menyanyikan lagu Negaraku yang diubah kepada bahasa Mandarin.

Difahamkan, video itu didakwa dirakam pada 26 September 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, penggunaan bahasa Mandarin ketika menyanyikan Negaraku semasa PdP itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu kebangsaan oleh rakyat negara ini.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa lagu Negaraku tidak boleh dinyanyikan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

Menyambut baik pendirian tegas Dr Mahathir itu, Iqbal Hakim berkata, penukaran lagu kebangsaan ke bahasa Mandarin seolah-olah cuba melahirkan rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa berkenaan sebagai bahasa kebangsaan.

“Bahasa adalah jiwa bangsa. Dengan mengajar makna lagu Negaraku menggunakan bahasa Mandarin kepada murid, adakah mereka ingin melahirkan rakyat negara yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan? Atau rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu?,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close