Berita UtamaUtama

Banjir Johor: Satu lagi PPS dibuka

Jalan berisiko dinaiki air di Kota Tinggi masih boleh dilalui kenderaan

JOHOR BAHRU, 13 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dibuka di daerah Kota Tinggi, menjadikan jumlah keseluruhan lima PPS berbanding hanya empat pada petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon dalam kenyataan di sini, hari ini berkata seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai sebaik PPS baharu itu dibuka pada 9.34 malam tadi.

Katanya, mangsa yang dipindahkan itu merupakan penduduk Kampung Mawai Baru, Kampung Mawai Lama dan Kampung Haji Mohd Jambi.

Beliau berkata, setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di daerah itu ialah sebanyak 711 orang daripada 180 keluarga.

Selain PPS SK Mawai, mangsa banjir turut ditempatkan di PPS SK Teluk Ramunia ( 46 orang daripada 13 keluarga , Kolej Vokasional Kota Tinggi (526 orang daripada 133 keluarga), Sekolah Jenis Kebangsaan New Kota (67 orang daripada 13 keluarga) dan Dewan Seri Teratai Batu 4 (52 orang daripada 14 keluarga) .

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata banjir di daerah itu setakat ini melibatkan empat mukim iaitu Mukim Kota Tinggi yang merangkumi Taman Aman, Kampung Jawa, Taman Mawai dan Kampung Mawai Baru; dan Mukim Tanjung Surat (meliputi Kampung Changi, Kampung Baru dan Kampung Jomis Bukit Raja).

Dua lagi mukim ialah Mukim Panti yang melibatkan Kampung Sepak Ulu dan Kampung Lukut serta Mukim Sedili yang meliputi Kampung Mawai Lama dan Kampung Haji Mohd Jambi.

“Setakat ini. kesemua jalan di sekitar daerah Kota Tinggi yang berisiko dinaiki air masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close