Berita UtamaUtama

Lulus ujian agama, moral baru boleh jadi polis

Pendidikan jadi 'pendinding' jauhi perkara tidak sepatutnya

BANGI, 13 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Setiap permohonan anggota baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lulus ujian penilaian agama dan moral sebelum diterima masuk ke dalam agensi itu bermula tahun depan.

Syarat itu bagi memastikan setiap anggota yang diambil mempunyai tahap integriti serta nilai moral dan agama yang tinggi, kata Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata, aspek agama ditekankan bagi calon beragama Islam manakala pendidikan moral bagi calon bukan beragama Islam menerusi ujian secara atas talian dan temu duga.

“Kita perlu faham bahawa pendidikan agama penting jika tiada ‘pendinding’ itu akan menyebabkan mereka-mereka ini terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” kata beliau seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, selain aspek agama dan moral, PDRM juga akan menjalankan ujian psikometrik yang bersesuaian bagi mengenal pasti sikap serta perilaku mereka sebelum diterima menjadi anggota polis.

“Tugas anggota polis ialah menjaga keselamatan orang ramai, jika mereka terlibat dalam perkara yang tidak sepatutnya macam mana mereka nak laksanakan tugas dan tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PDRM akan bekolaborasi bersama universiti untuk mencari kaedah dalam mengesan lebih awal calon-calon bagi anggota polis yang terlibat dalam masalah dadah.

Ini kerana kata beliau, terdapat statistik mengatakan ada antara polis terbabit dengan dadah lebih awal sebelum menjadi anggota.

“Ini antara kaedah yang akan kita laksanakan bagi memastikan anggota baharu yang diambil benar-benar menepati kriteria yang kita mahukan,” kata Abd Rahim.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close