Berita UtamaDuniaUtama

Wabak campak ragut lebih 70 nyawa di Samoa

Antivaksin sebar teori konspirasi salah hingga kadar imunisasi rendah

SAMOA, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Wabak demam campak yang dahsyat terus merebak di Samoa, hingga menyebabkan angka kematian meningkat kepada 70 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Angka rasmi menunjukkan terdapat 112 kes baru dalam tempoh 24 jam sehingga pagi ini. 

Pihak berkuasa mengesahkan, pasukan vaksinasi telah berjaya memastikan 90 peratus daripada 200,000 penduduk telah diimunisasi.

Bagaimanapun, vaksin mengambil masa selama 14 hari untuk berfungsi, bermakna terlalu awal untuk mengatakan sama ada wabak itu dalam keadaan terkawal atau tidak. 

Jumlah kes yang dilaporkan ketika ini adalah sebanyak 4,693, dengan 229 orang kini berada di hospital, termasuk 16 kanak-kanak yang kritikal.

Bayi adalah individu paling terdedah kepada demam campak, yang biasanya menyebabkan ruam dan demam tetapi juga boleh mengakibatkan kerosakan otak dan kematian.

Antara 70 orang yang mati, 61 adalah kanak-kanak berusia empat tahun atau kurang daripada itu.

Pihak berkuasa menyalahkan antivaksin yang menyebarkan teori konspirasi hingga menyebabkan kadar imunisasi rendah serta mengakibatkan kanak-kanak Samoa terdedah kepada wabak campak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan demam campak kini disifatkan sebagai wabak sejagat dengan hampir 10 juta mangsa dicatat pada 2018 – menyebabkan 140,000 kematian, kebanyakannya kanak kanak.

Untuk tahun ini, setakat bulan November, jumlah penularan demam campak sudah meningkat tiga kali ganda. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close