Berita UtamaUtama

Virus Polio pada bayi 3 bulan bukan sebab vaksin IPV

KKM ingatkan semua pihak tak putar belit fakta mengenai VDPV

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan dos Inactivated Polio Vaccine (IPV) tidak menyebabkan vaccine-derived poliovirus (VDPV) kerana ia mengandungi virus Polio yang telah dimatikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, VDPV yang dikesan pada kes kanak-kanak yang dilaporkan semalam, bukan disebabkan oleh vaksin IPV.

Beliau berkata, sepanjang penggunaan vaksin oral polio di Malaysia, lebih daripada 80 juta dos telah diberikan dan tiada sebarang kes VDPV dikesan.

“Kesemua kes poliomyelitis yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini merupakan kes akibat jangkitan virus polio liar (wild poliovirus, WPV) dengan kes terakhir dilaporkan pada tahun 1992.

“KKM ingin menegaskan agar semua pihak tidak memutarbelitkan fakta mengenai VDPV dengan mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak KKM.

“Ibu bapa dan orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan penularan jangkitan dapat dihentikan dan Malaysia kembali bebas polio,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, satu kes disahkan jangkitan polio membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran Sabah, selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada virus itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, kejadian kes polio yang pertama sejak Malaysia bebas virus itu adalah sangat mendukacitakan pihak kementeriannya.

Sehubungan itu, bagi memastikan jangkitan virus berkenaan tidak menular, langkah-langkah kawalan telah dijalankan dan sedang diteruskan, termasuk aktiviti pengesanan kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis di kawasan sekitar tempat tinggal kes.

“Pengambilan sampel najis dari 14 orang kontak rapat kanak-kanak tersebut telah dijalankan dan keputusan ujian dijangka akan diterima dalam tempoh seminggu.

“Aktiviti pemberian imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan terutama dalam kalangan kanak-kanak yang tercicir imunisasi,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah-langkah pencegahan juga sedang giat dijalankan di kawasan terbabit.

“Penekanan diberikan mengenai kepentingan imunisasi, penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak KKM sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian yang tidak mendapatkan rawatan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close