Berita UtamaUtama

Syor wajibkan imunisasi

Gandakan usaha penerangan faedah vaksin kepada kanak-kanak

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Tindakan ibu bapa membiarkan anak tanpa mengambil vaksin serta bergaul bersama mereka yang mematuhi program imunisasi, akan menambahkan risiko jangkitan kepada kedua-dua pihak.

Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, sesetengah negara membangun dan maju mewajibkan program imunisasi ke atas semua kanak-kanak yang lahir di negara berkenaan.

“Ini bermakna ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya ingkar. Pihak sekolah juga tidak akan membenarkan anak mereka untuk mendaftar di sekolah itu sekiranya ibu bapa gagal menunjukkan bukti imunisasi sudah diambil ketika mereka masih kanak-kanak,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Prof Azizi berkata, dasar sebegini perlu dipraktikkan secara tegas kerana pihak berwajib mempunyai tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan kesihatan penduduk sesebuah negara.

Bahkan kata beliau, cadangan untuk mewajibkan program imunisasi ke atas kanak-kanak di negara amat dialu-alukan demi menjaga tahap kesihatan yang baik.

“Kanak-kanak adalah generasi pewaris kepada kita semua dan kita seharusnya sepakat serta bertanggungjawab menjaga tahap kesihatan mereka sebaik mungkin.

“Pihak berwajib melalui KKM, agensi kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu menggandakan usaha penerangan kesihatan dan faedah vaksin kepada kanak-kanak,” katanya.

Semalam, satu kes disahkan jangkitan polio membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah, selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah mendapati 23 daripada 199 orang atau 11.6 peratus yang berumur di antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan circulating vaccine-derived poliovirus (cVPDV) hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close