Berita UtamaUtama

Segera bentuk institusi Muafakat Nasional, syor penganalisis

Selaraskan dasar, keputusan parti supaya kepentingan rakyat terbela

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff menyarankan supaya Muafakat Nasional segera diinstitusikan dengan mengambil kira beberapa aspek.

Beliau berkata, aspek yang perlu diambil kira termasuk impak kepada hubungan politik antara UMNO, PAS serta parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA serta MIC.

Selain itu katanya, hal dasar dan keputusan parti harus diselaras dan diseragamkan supaya menjadi satu barisan yang boleh dianggap sebagai pengganti BN dengan pembabitan PAS.

“Kita kena tengok juga sama ada barisan baru ini bukan sahaja dapat memenuhi hasrat politik tetapi perjuangan politik yang berteraskan kepada pembelaan dan juga kepentingan rakyat.

“Perlu dilihat juga bagaimana barisan ini boleh dianggap sebagai satu barisan alternatif untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Pada masa sama, Dr Syed Agil turut menekankan bahawa tumpuan barisan baru itu bukan sahaja perlu berasakan kepada integrasi politik, bahkan kepada kesaksamaan dan keharmonian negara.

“Kita juga lihat bagaimana barisan ini dapat menarik lebih banyak pengundi khususnya pengundi muda kerana mereka masih belum mempunyai arah tujuan konsisten dari segi pendirian dalam politik,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Konvensyen Muafakat Nasional peringkat kebangsaan mungkin diadakan sebelum bulan Mei tahun depan.

Beliau berkata, sekiranya ia dilaksanakan pada tahun hadapan, Ahmad Zahid menegaskan secara rasminya Muafakat Nasional akan dirasmikan dan diformalkan pelaksanaannya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close