Berita UtamaUtama

Rakyat nak tahu apa status kes Chin Peng, himpunan komunis?

Agong diminta campur tangan haramkan gerakan aliran kiri, sosialis

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Seperti tiada pengakhiran. Itulah yang digambarkan rata-rata pengguna media sosial terhadap siasatan kes abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan majlis meraikan bekas anggota komunis yang diadakan di Kajang pada 1 Disember lalu.

Kebanyakan netizen yang mengikuti dekat perkembangan dua isu berkenaan mempersoalkan status terkini siasatan, kerana bimbang kes berkenaan tidak mustahil akan sepi begitu sahaja.

Walaupun pihak berkuasa menegaskan masih dalam proses siasatan, bagaimanapun kebanyakan netizen tertanya-tanya apakah setakat mengambil keterangan individu terbabit insiden berkenaan.

“Apakah tindakan yang bakal diambil? Rakyat semua ingin tahu,” tulis Muhamad Solihan.

“Negara ini dah macam tiada pemimpin, sampai ke tahap ini masih buat seperti tiada apa-apa. Mana raja-raja, menteri, polis?,” soal Hisham Al-Baniri.

Bimbang dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menyuburkan perjuangan komunis di negara ini, Ahmad Mohd Noor menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk campur tangan dengan mengharamkan sebarang gerakan aliran kiri, sosialis atau komunis.

“Tiada tindakan daripada kerajaan. Jadi puak ini akan berterusan hingga tercapai untuk menjadikan Malaysia negara komunis. Sekarang siapa kerajaan? Yang mengundi dan memilih kerajaan sekarang, terima kasih,” tulis Ainol Jati.

“Undang-undang di Malaysia dah jadi bahan lawak bagi mereka. Kalau di Indonesia, dah kena buang warganegara,” tulis Fikri Pick.

Isu Chin Peng menjadi perhatian apabila kumpulan pengurusan abu mayatnya dilaporkan membawa masuk abu berkenaan dari Thailand dan ditabur di laut berhampiran lumut Perak serta hutan banjaran Titiwangsa.

Minggu lalu, polis mengesahkan sudah memanggil tujuh individu untuk memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat pengganas dan musuh nombor satu negara itu.

Belum selesai isu abu mayat berkenaan, negara sekali lagi dikejutkan dengan satu majlis perjumpaan dipercayai membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang diadakan di Kajang, sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai.

Polis dalam kenyataannya sebelum ini mengesahkan masih menyiasat kes berkenaan, dan memberi jaminan siasatan telus dan adil akan dijalankan mengikut undang-undang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close