Berita UtamaUtama

Pengerusi SPR nafi bincang kes Rafizi dengan Peguam Negara

Kes yang dibincang bersama Thomas adalah berkaitan Tian Chua

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan, beliau tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas atau mana-mana pegawai daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes atau rayuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Azhar berkata, satu-satunya kes yang dibincangkannya bersama Thomas baru-baru ini adalah berkaitan Tian Chua, di mana SPR merupakan pihak dalam kes itu, justeru, mempunyai kepentingan langsung dalam kes berkenaan.

“Saya telah, atas kedudukan rasmi saya, mendapatkan nasihat daripada Tan Sri Tommy Thomas mengenai sama ada untuk memfailkan atau tidak, rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes itu.

“Untuk rekod, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak membincangkan kes atau rayuan Rafizi dengan Tan Sri Tommy Thomas atau mana-mana pegawai daripada Jabatan Peguam Negara yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menarik balik rayuan terbabit dan memulakan prosiding disiplin ke atas mana-mana pegawainya atau untuk dalam apa jua cara, mempengaruhi Tan Sri Tommy Thomas dalam proses beliau membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata, demikian sebagai merujuk kepada laporan sebuah portal berita bertajuk ‘AG says appeal against Rafizi’s acquital done without his knowledge’ yang antara lain membayangkan Peguam Negara, selepas berbincang dengan Pengerusi SPR, membuat keputusan bahawa pendakwaan tidak akan merayu dan keputusan itu telahpun disampaikan kepada pegawai yang berkenaan.

Laporan portal berita itu dipetik, semula oleh beberapa portal berita dan akhbar yang merujuk kepada rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi daripada dakwaan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Azhar berkata, beliau sentiasa menyokong kuat doktrin pemisahan kuasa dan sentiasa menyedari tentang tentang skop dan bidang kuasa pelbagai institusi serta agensi tadbir urus.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close