Berita UtamaUtama

PAN ‘gatal punggung’ bila UMNO berubah jadi baik

Kerajaan bukan malaikat, benda tak betul kenalah tegur: Ridhuan Tee

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengecam dakwaan perwakilan PAN bahawa PAS dan UMNO memainkan isu perkauman ke tahap yang kritikal dan dilihat menggugat kestabilan negara.

Pendakwah bebas itu menegaskan, UMNO dan PAS tidak memainkan sentimen agama dan kaum, sebaliknya kedua-dua parti itu menjaga Islam dan Melayu kerana itu  adalah perjuangan asal mereka.

“Tidak usah ganggu sangat PAS dan UMNO. Negara kita ada undang-undang, jika PAS dan UMNO membahayakan, orang yang akan bertindak adalah polis, bukan kamu.

“UMNO baru-baru ini telah mencadangkan untuk pinda perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi. Perubahan semakin baik.

“Kamu gatal punggung bila orang berubah nak jadi baik. Jika bangsa lain begitu tegar menjaga agama dan bangsa mereka, takkan kita mahu terus cair,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, Mohd Saifullah Abd Nasir – perwakilan PAN dari Pulau Pinang – mencadangkan supaya semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam dinilai semula atau dibatalkan pendaftarannya kerana memberikan imej tidak baik kepada agama.

Beliau turut mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap kakitangan awam yang tidak bersedia untuk taat kepada kerajaan ketika ini serta mempersoalkan sikap media arus perdana yang pro kerajaan tetapi gagal memihak kepada pemerintah, termasuk tidak membuat siaran langsung konvensyen parti itu.

Membidas lagi, Prof Ridhuan Tee secara tegas menyarankan pemimpin PAN yang lantang berucap supaya melakukan tugas dengan penuh amanah, sebelum Allah tarik balik amanah tersebut.

“Kamu mempersoalkan sikap media arus perdana yang pro kerajaan tetapi gagal memihak kepada pemerintah, termasuk tidak membuat siaran langsung konvensyen parti PAN, tetapi TV3 membuat liputan langsung persidangan agung UMNO. Buat kerja untuk Allah atau untuk dapat publisiti?

“Saya tidak boleh kata apa dah. Inikah standard perwakilan sebagai pemimpin. TV3 ini siaran swasta, suka hati dialah nak liputan berita parti mana pun. Lagipun keahlian UMNO besar (termasuk PAS), berbanding PAN.

“Takkan itu pun tidak faham. Saya cukup kasihan tengok kamu wahai perwakilan PAN. Kamu ada RTM, TV2, gunakanlah sepenuhnya. Kamu ‘gam’ mereka yang tidak sefahaman dengan kamu,” bidas Ridhuan Tee.

Sementara saranan Saifullah supaya tindakan dikenakan terhadap kakitangan awam yang tidak bersedia untuk taat kepada kerajaan, Prof Ridhuan Tee berkata, rakyat taat kepada kerajaan hari ini tetapi bukan membodek seperti perwakilan berkenaan.

“Benda yang tidak betul kena tegur. Kerajaan hari ini bukan malaikat. Bukan semuanya amanah. Banyak juga salah guna kuasa berlaku. Ingat baik-baik,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close