Berita UtamaUtama

Mesyuarat Khas akan diadakan bincang PRK Kimanis

Pemakluman rasmi kekosongan kerusi telah dihantar kepada Speaker

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima perakuan mahkamah mengenai pembatalan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis, Sabah.

Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi Parlimen berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan pihaknya iaitu mulai 10 Disember.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun turut mengesahkan telah menghantar pemakluman secara rasmi kekosongan kerusi berkenaan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, hari ini.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan berkenaan selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Katanya, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Petisyen itu difailkan Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membayar kos kepada Karim sebanyak RM100,000.

Karim memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas dan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah PRK kesepuluh diadakan sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, Mei tahun lalu.

Sembilan PRK sebelum ini adalah di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018), Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019), DUN Semenyih (2 Mac 2019), DUN Rantau (13 April 2019), Parlimen Sandakan (11 Mei 2019) dan Parlimen Tanjung Piai (16 November 2019).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close