Dunia

Kes harian COVID-19 melonjak, Indonesia kuat kuasa sekatan baharu

Ambil langkah ubah waktu operasi pusat beli-belah, had kapasiti restoran

JAKARTA, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Indonesia akan menguatkuasakan peraturan baharu berikutan kes jangkitan COVID-19 di negara itu melonjak ke paras tertinggi semalam. 

Mulai 11 Januari, sekatan akan berkuat kuasa selama dua minggu di beberapa wilayah di Bali dan Pulau Jawa – kawasan yang paling ramai bilangan penduduknya.

Beberapa langkah diambil termasuk perubahan waktu operasi untuk pusat membeli-belah, had kapasiti restoran dan tempat beribadah, menurut Ketua Jawatankuasa Kerja Indonesia bagi Menangani COVID-19 dan Pemulihan Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Hartarto berkata, gabenor akan membuat keputusan akhir mengenai peraturan di wilayah masing-masing. 

Langkah itu diambil ketika jumlah kes jangkitan harian di Indonesia melonjak kepada 8,854 menjadikan keseluruhan 788,402 kes. 

Sekurang-kurangnya 187 kematian baharu semalam, menjadikan angka keseluruhan kepada 23,296, menurut laporan terkini Kementerian Kesihatan. 

Setakat semalam, kes harian di Jakarta meningkat kepada 2,402 sementara 1,470 kes dicatatkan di Jawa Barat dan 1,023 di Jawa Tengah. 

Jumlah jangkitan di Jawa Timur jauh lebih rendah iaitu 845 kes, namun merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 54 di antara semua wilayah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button