Berita UtamaDuniaUtama

ICC didesak siasat jenayah Israel

Sekatan rejim Zionis selama 13 tahun lumpuhkan ekonomi Gaza

MADRID, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Sekumpulan aktivis yang mahu menghentikan sekatan pengganas Israel di Semenanjung Gaza, mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague menyiasat jenayah rejim itu di wilayah Palestin yang diduduki, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Sepucuk surat ditandatangani aktivis sosial dan sivil Freedom Flotilla Coalition (FFC) di pelbagai negara akan diserah kepada Ketua Pendakwaan ICC Fatou Bensouda pada Isnin depan (10 Disember), yang juga Hari Antarabangsa Hak-Hak Asasi Manusia, menurut kenyataan Rumbo a Gaza, cawangan gabungan badan bukan kerajaan itu.

Kumpulan itu menegaskan bahawa permintaan untuk siasatan telah tersekat di peringkat ‘analisis awal’ mahkamah berkenaan, selama lima tahun.

Sekatan Israel selama 13 tahun di Semenanjung Gaza, telah melumpuhkan ekonomi enklaf pesisir itu dan menjejaskan pergerakan bebas keluar masuk dua juta penduduknya selain menyekat kemasukan banyak kemudahan asas.

Sehingga akhir 2016, sejumlah 1.3 juta rakyat Gaza bergantung kepada bantuan Antarabangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup, manakala hampir separuh keluarga di Gaza tiada akses untuk mendapatkan bekalan makanan, lapor Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

Setiap tahun selama lapan tahun sehingga kini, FFC telah melancarkan satu kempen baharu untuk mencabar sekatan Israel di enklaf pesisir Palestin.

Pada 31 Mei 2010, komando Israel telah membunuh sembilan aktivis Turki di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa.

Kapal itu, yang merupakan sebahagian daripada konvoi FFC, dalam perjalanan ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan. Seorang lagi aktivis meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Minggu lepas, pejabat pendakwaan ICC menolak permintaan untuk melancarkan siasatan ke atas serangan itu dan menutup fail tersebut buat kali ketiga. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close