Berita UtamaUtama

Dr Mahathir tak tahu ada perbincangan ambil alih FGV

'Jika wujud, babitkan Felda dengan Syed Mokhtar bukan kerajaan'

LANGKAWI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui adanya perbincangan mengenai pengambilalihan sebahagian kepentingan dalam FGV Holdings Bhd (FGV) oleh pihak ketiga seperti didakwa seorang pemimpin Pakatan Harapan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya perbincangan itu wujud, ia mungkin membabitkan Felda dengan pihak yang didakwa tersebut iaitu tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan tidak melibatkan kerajaan.

“Kalau ada perbincangan, barangkali Felda dengan Syed Mokhtar. Itu dia (Felda) punya kerja bukan saya punya kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Jakel di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Datuk Mazlan Aliman yang menimbulkan isu tersebut, ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Shah Alam, hari ini.

Ditanya lanjut mengenai dakwaan itu, Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak pasti jika Felda benar-benar berhasrat menjual sebahagian kepentingannya dalam FGV, namun tidak akan membantah sekiranya ia mendatangkan keuntungan kepada Felda dan kerajaan.

“Kalau serah saya bantah, tapi kalau jual dapat duit banyak kepada kerajaan. Kerajaan nak cari duit. Apa yang boleh kita jual, kita jual lah. Tinggal kita tak jual Malaysia sahaja.

“Saya tak tahu lah dia nak jual atau tak. Tapi soal jualan harta kerajaan memang kita buat selalu. Pasal kita ada banyak tanah dan kita sendiri tidak dapat ‘develop’, jadi kalau orang nak beli, nak ‘develop’ ok,” katanya.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata, menjadi amalan biasa dalam dunia pernigaaan untuk mana-mana syarikat dijual kepada pihak lain jika mengalami kerugian.

“Kalau FGV ini, dia rugi banyak sangat, biasanya kalau syarikat rugi dia ‘close down’ atau jual kepada syarikat lain. Tak tahu la barangkali dia (FGV) rugi la kot. You tau dia untung banyak mana? Dia rugi berjuta, kalau syarikat milik kerajaan, jual lah.

“Kerajaan tidak pandai dalam bidang perniagaan. Kalau buat perniagaan syarikat kerajaan pun bankrap. Kalau Jakel ini pun, kalau kita ambil mungkin tahan sebulan sahaja, lepas itu tutup,” katanya.

Perdana menteri berkata, ketika ditubuhkan, saham FGV dijual pada harga lebih RM4 namun kini berada pada harga lebih RM1, sekali gus menyebabkan peneroka Felda yang membuat pinjaman bank untuk membeli saham itu mengalami kerugian dan kerajaan perlu membantu mereka.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close