Berita UtamaUtama

Beri ruang orang muda wibawa ketengah agenda penyatuan

Pastikan matlamat Muafakat Nasional berjaya, jangan ulang silap dulu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Gagasan politik bukan hanya membabitkan kepartian, sebaliknya turut merangkumi pelbagai aspek lain termasuk ekonomi, pendidikan, perpaduan kaum dan struktur pentadbiran negara.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz berkata, dalam mewujudkan satu gagasan, parti politik Melayu perlu melihat kembali sejarahnya, termasuk keadaan semasa serta merangka hala tuju.

Merujuk permuafakatan antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional, beliau berkata, langkah dua parti berkenaan adalah petanda baik untuk orang Melayu, setelah berpuluh tahun berada dalam perpecahan.

“Saya rasa bila kita bincang mengenai parti politik orang Melayu, kita tidak boleh menafikan parti politik terbesar di negara ini adalah UMNO dan PAS. Malah, jika kita tengok Bersatu pun datang daripada UMNO, begitu juga PKR. Sementara Amanah daripada PAS.

“Jadi, politik Malaysia selama lebih 60 tahun ini diwarnai oleh dua parti terbesar orang Melayu ini. Boleh dikatakan apa yang berlaku hari ini berpunca daripada dua parti politik terbesar ini,” katanya dalam temu bual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi, hari ini.

Beliau berkata, perpecahan dan pertelagahan yang berlaku antara UMNO dan PAS sebelum ini, telah membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil peluang.

“Kita percaya perpecahan untuk disebabkan faktor dalaman dalam parti itu sendiri, terhadap cita-cita individu tertentu untuk menjadi pemimpin tertinggi, termasuk beberapa kepentingan tertentu.

“Dan kita juga mungkin terlepas pandang kepada faktor luaran, seperti musuh-musuh yang cuba mengambil kesempatan kepada perpecahan orang Melayu,” katanya.

Dr Badhrulhisham berkata, penyatuan politik orang Melayu sudah melangkah setapak ke depan dengan menyaksikan dua parti terbesar negara berkenaan kembali duduk semeja.

“Penyatuan telah berlaku, dan sekarang untuk kita membuktikan pula komitmen serta keazaman (Muafakat Nasional) itu. Saya rasa penyatuan ini juga perlu berhati-hati untuk pastikan agenda ini berjaya dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Jadi, saya merasakan penyatuan ini perlu kepada barisan kepimpinan yang berwibawa untuk memimpin Melayu pada masa akan datang. Mana-mana pemimpin lama, perlu beri ruang kepada orang muda yang berwibawa untuk membawa agenda ini ke depan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close