Berita UtamaDuniaUtama

3,600 kanak-kanak maut, 800 lumpuh kerana perang di Yaman

80,000 kanak-kanak juga alami pelbagai penyakit psikologi, neurologi

SANA’A, 12 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Lebih 3,600 kanak-kanak terbunuh manakala 400,000 yang lain mengalami malnutrisi – kekurangan zat makanan – akibat konflik peperangan pakatan tentera diketuai Arab Saudi di wilayah Yaman.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Wanita dan Hak Kanak-Kanak Yaman, 7,500 kanak-kanak telah menjadi mangsa peperangan yang dipimpin Arab Saudi, sejak bermula krisis pada Mac 2015.

Daripada jumlah itu, 3,672 kanak-kanak terbunuh dan 800 yang lain lumpuh, katanya, sambil menambah bahawa selebihnya sama ada cacat kekal atau kecederaan lain yang memberi kesan kepada seluruh kehidupan mereka.

Perang itu juga menyebabkan 400,000 kanak-kanak lain Yaman kekurangan zat makanan, kata rangkaian televisyen al-Masirah yang memetik laporan berkenaan.

Secara berasingan pada hari Ahad, Kementerian Kesihatan Yaman juga mengesahkan bahawa 800 kanak-kanak menderita cacat kekal akibat kecederaan yang mereka terima dalam serangan udara dipimpin oleh Arab Saudi selama lima tahun lalu.

Pihaknya juga memaklumkan bahawa seramai 80,000 kanak-kanak mengalami pelbagai jenis penyakit psikologi dan neurologi yang disebabkan oleh peperangan.

Menurut kementerian, kira-kira tiga juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun juga menderita kekurangan zat makanan, 400,000 daripadanya mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan berisiko mati setiap sepuluh minit jika mereka tidak menerima rawatan perubatan yang sesuai.

Penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a telah menghalang kira-kira 320,000 rakyat Yaman ke luar negara untuk menerima rawatan, yang mana seramai 42,000 telah pun kehilangan nyawa mereka.  

Tiga belas peratus daripada kematian adalah kanak-kanak.

Arab Saudi dan beberapa sekutunya melancarkan kempen yang menghancurkan penduduk Yaman, dengan matlamat untuk membawa kerajaan bekas Presiden, Abd Rabbuh Mansur Hadi, kembali berkuasa dan menghapuskan pergerakan Yamani Houthi Ansarullah.

Perang yang diketuai oleh Arab Saudi juga telah membinasakan infrastruktur Yaman, memusnahkan hospital, sekolah, dan kilang.  

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih dari 24 juta penduduk Yaman sangat memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk 10 juta yang menderita akibat kelaparan yang melampau. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close